
BATON ROUGE: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila berdegil mahu membeli dan memiliki Gaza walaupun mendapat tentangan keras masyarakat antarabangsa, terutama dunia Islam.
Lebih mengejutkan, Trump dengan angkuh menawarkan bahagian Gaza yang telah musnah akibat serangan rejim Zionis selama lebih 15 bulan kepada negara Asia Barat untuk dibangunkan semula.
“Kami mahu memastikan Hamas tidak lagi dapat memegang kuasa di Gaza. Tempat itu sudah binasa sepenuhnya. Tiada apa lagi yang tinggal untuk didiami.
“Semuanya akan dirobohkan,” katanya dengan sombong dalam satu temu bual dalam pesawat rasmi, Air Force One dalam perjalanan ke kejohanan Super Bowl Liga Bola Sepak Kebangsaan di New Orleans, semalam.
Trump yang terkenal dengan dasar keras terhadap pendatang asing di AS, secara tiba-tiba menyatakan kemungkinan menerima pelarian Palestin berdasarkan kes tertentu.
Namun, kenyataan Trump mendapat kecaman keras anggota Biro Politik Hamas, Ezzat El Rashq yang menegaskan bahawa Gaza bukan barang dagangan yang boleh dijual beli.
“Gaza bukan harta untuk dijual beli. Ia adalah sebahagian tanah milik kami dan penduduk Palestin akan menggagalkan rancangan pemindahan paksa itu,” katanya.
Sehingga kini, tidak jelas apakah bidang kuasa yang mahu digunakan oleh AS untuk merampas Gaza, namun Trump secara terbuka telah menyatakan hasratnya mahu menjadikan wilayah itu sebagai ‘Riviera Asia Barat’.
Bagaimanapun, pemimpin Arab, termasuk Jordan dan Mesir tetap berpegang teguh kepada penyelesaian dua negara dan menolak sebarang usaha yang boleh mencetuskan ketidakstabilan di rantau tersebut.
Dunia Islam kini menunggu tindakan tegas daripada pemimpin-pemimpin negara Islam terhadap usaha terbaru AS yang jelas memperkecilkan kedaulatan Palestin. – AGENSI











