
KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli melancarkan buku mewah ‘Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands’ terbitan WWF-Malaysia dengan kerjasama CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic).
Buku mewah ini menonjolkan keunikan dan keindahan Setiu Wetlands dengan memuatkan koleksi gambar serta fakta menarik hasil daripada kajian dan kerja lapangan serta interaksi bersama masyarakat tempatan.
Karya ini dihasilkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keistimewaan alam semula jadi di Setiu Wetlands serta kepentingan usaha pemuliharaannya.
Presiden WWF-Malaysia, Tunku Ali Redhauddin Tunku Muhriz berkata, penerbitan buku mewah ini adalah langkah penting dalam memupuk kesedaran tentang Setiu Wetlands sebagai permata semula jadi yang harus terus dipelihara demi kelestarian generasi kini dan masa depan.
“Buku mewah ini juga adalah simbol penghargaan kepada masyarakat tempatan Setiu Wetlands, yang selama ini menjadi tunjang kepada usaha pemuliharaan WWF-Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran di Hotel Primula, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, buku mewah ini juga melambangkan pencapaian usaha sama antara CIMB Islamic dan WWF-Malaysia dalam memulihara Setiu Wetlands sejak tahun 2019 lagi.
Katanya, kerjasama ini telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh perlindungan dan pengurusan Setiu Wetlands serta pemerkasaan komuniti tempatan.
“CIMB Islamic sentiasa komited untuk menyepadukan pemuliharaan alam sekitar ke dalam penyelesaian kewangan, seperti yang ditunjukkan melalui sokongan kami dalam usaha pemuliharaan biodiversiti dan pemulihan ekosistem di Setiu Wetlands, didorong oleh keunikan dan peranan kritikalnya bagi kehidupan masyarakat tempatan.
“Berpandukan prinsip Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), kami memastikan produk dan perkhidmatan kami mencipta impak positif dan mampan kepada komuniti tempatan serta alam sekitar.
“Kami percaya kemajuan kewangan dan pengawasan alam sekitar dapat wujud bersama untuk kepentingan generasi akan datang dan berharap lebih banyak pihak menyertai kami dalam usaha memulihara alam semulajadi Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2025











