Kerajaan belum muktamad subsidi bersasar jadi persoalan

Syahir Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketidakjelasan ukuran kelayakan dan kaedah pelaksanaan subsidi bersasar yang masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan terus menimbulkan persoalan, terutama mengenai impak terhadap kos sara hidup rakyat.

- Advertisement -

Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, kategori penerima subsidi seperti T15 dan B85 sehingga kini masih belum diperincikan, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Masih menjadi teka teki, perlu difahami bahawa sesuatu kenaikan kos adalah bersifat berantai dan berangkai, walaupun dikatakan 85 peratus rakyat tidak akan terjejas dengan pengurangan subsidi.

“Namun kesan berantai daripada kenaikan kos pengeluaran dan kos bahan api pasti akan dipindahkan, dan akhirnya berpindah kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga barang, makanan dan perkhidmatan tidak kira B40 atau M40.

“Perkara ini semua orang perlu sedia maklum,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN), berkata kepastian dalam pelaksanaan subsidi adalah penting bagi membolehkan rakyat merancang belanjawan peribadi, keluarga dan perniagaan.

“Layak ataupun tidak layak terima subsidi petrol diesel, elektrik, pendidikan dan kesihatan adalah penting supaya rakyat juga dapat menyusun belanjawan peribadi, keluarga dan perancangan perniagaan di syarikat bagi menyerap segala kesan yang terhasil daripada segala peruntukan dan pemotongan yang diluluskan dalam belanjawan kerajaan tempoh hari.

“Kerajaan telah mengenal pasti cabaran pelaksanaan subsidi petrol dan diesel secara bersasar di kawasan luar bandar, terutama di Cameron Highlands yang menghadapi kekurangan infrastruktur digital.

“Apatah lagi kerajaan berhasrat menggunakan kaedah imbasan kad pengenalan bagi mendapatkan subsidi petrol RON95,” katanya.

Syahir berkata, kajian mendalam perlu dijalankan oleh kerajaan untuk memastikan penyasaran subsidi yang tepat tanpa menjejaskan kesaksamaan antara negeri dan wilayah, terutama di kawasan yang bergantung kepada penggunaan petrol dan diesel.

“Terbaru terdapat rungutan pesawah padi akibat kenaikan kos diesel dan sewaan jentera. Justeru aspek kejelasan dan kepastian di pihak kerajaan amatlah penting.

“Hal demikian bagi memastikan cabaran subsidi, inflasi dan keberhutangan rakyat dapat ditangani dengan berkesan supaya tidak berubah menjadi ‘Pasir Jerlus’ yang kelihatan jauh tapi sebenarnya teramat dekat dengan negara dan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2025

- Advertisement -