Kenyataan Trump cerminkan angkuh imperialis moden

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengecam sekeras-kerasnya kenyataan terbaru Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mencadangkan bahawa AS harus ‘mengambil alih dan memiliki Gaza’ sebagai sebahagian daripada ‘rancangan pembangunan semula’.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kenyataan itu merupakan penghinaan terhadap kedaulatan rakyat Palestin dan satu lagi bentuk imperialisme yang tidak boleh diterima.

“Kenyataan Trump adalah kolonialisme moden. Ia mencerminkan keangkuhan dan kezaliman imperialis yang bertentangan dengan hak asasi manusia serta prinsip keadilan antarabangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Exco Kerajaan Terengganu itu berkata, PAS menegaskan bahawa campur tangan AS tidak diperlukan sama sekali di Palestin dan tiada keperluan untuk Gaza menerima ‘penjajah baharu’ melainkan keadilan dan kebebasan daripada pendudukan Israel.

PAS katanya, mengutuk sekeras-kerasnya cadangan biadab itu dan menyatakan sokongan penuh kepada perjuangan rakyat Palestin dan menolak segala bentuk penjajahan serta eksploitasi terhadap Gaza.

Beliau menjelaskan bahawa jika kenyataan itu tidak ditarik balik, PAS akan menggerakkan tentangan besar-besaran rakyat Malaysia termasuklah menggerakkan himpunan mega di hadapan Kedutaan AS sebagai tanda bantahan rakyat Malaysia terhadap dasar imperialis ini.

Selain itu beliau menggesa supaya Kerajaan Malaysia menyatakan pendirian rasmi yang tegas serta mengambil langkah diplomatik bagi mempertahankan hak Palestin.

“Satu usul khas di Dewan Rakyat wajib diluluskan mengutuk kenyataan Donald Trump ini. Palestin adalah hak rakyat Palestin dan bukannya untuk dijual kepada mana-mana kuasa asing.

“Rakyat Malaysia bersama masayarakat dunia yang cintakan keamanan akan bangkit dengan satu suara menentang kebiadaban Donald Trump,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2025

- Advertisement -
- Advertisement -