
PERMATANG PAUH: ADUN Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim @ Md Hashim adalah orang tempatan yang sejak sebelum dipilih sebagai wakil rakyat lagi sentiasa mengikrarkan perkhidmatannya untuk warga Permatang Pauh.
Sehubungan itu sebaik terpilih, beliau dan Ahli Parlimen Permatang Pauh segera menubuhkan Pusat Khidmat yang berfungsi selaku ‘one stop centre’ dan digerakkan oleh tujuh petugas dengan empat daripadanya berada di pejabat.
Dalam sesetengah isu dihadapi penduduk, beliau mengeluarkan pembiayaan sendiri atau sumbangan orang ramai untuk menyelesaikan, misalnya masalah perparitan yang menyebabkan banjir dan memerlukan pembaikan atau penyelenggaraan.
Terdapat juga beritahunya, masalah yang memerlukan peranan penguatkuasaan seperti kilang haram ditangani beliau dengan mengemukakan kepada agensi-agensi berkaitan dan memastikan tindakan sewajarnya diambil.
Kata Amir Hamzah lagi, ada juga permasalahan dihadapi penduduk yang memerlukan bantuan atau dana dari peruntukkan sedia ada diberikan, lalu pihaknya bertindak memanjangkan permohonan kepada agensi berkenaan, termasuk zakat.
Menyantuni hal ehwal rakyat kongsinya, tidak hanya melibatkan individu atau keluarga, tetapi juga kepentingan masyarakat umum atau awam seperti melibatkan surau atau prasarana atau perkhidmatan yang digunakan ramai.
Menurutnya, sepanjang tahun 2024, dari segi jumlah kewangan sama ada dari elaun beliau sendiri atau dana dan sumbangan yang ada telah digunakan tidak kurang RM120,000 untuk setahun itu.
“Kita anggap semua orang yang mai ke pejabat kita ni memang dia ada harapan, bukan kata nak tipu apa semua kan. Kalau dia mai itu, tentulah dia ada harapan. Jadi kita tidak menghampakan. Dan di pejabat kita sediakan RM1,000 sebulan untuk beras, gula apa semua tu.
“Jadi kalau orang kalau ada masalah, makan apa semua, memang kita bagilah. Sekarang ni bukan yang dalam kawasan saja mai, yang Bagan pun mai. Kadang-kadang Sungai Petani pun mai. Tapi kita tak kiralah kan sebab kita tahu yang mai ni tentulah ada keperluan. Bukan dia nak tipu. Memang dia perlu barang-barang itu.
“Jadi dalam masa setahun ni kita memanglah berjumpa orang ramai. Jadi tak kiralah jemputan ke masjid apa semua, tambah lagilah kan kenduri-kendara, NGO pun minta, KRT pun minta, tapi insya-Allah tak banyak sikit kita bagi juga,” ujar beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh.

Katanya, itulah hakikat usaha dan pengorbanan pimpinan PAS di mana jawatan bukan untuk mendapatkan habuan dunia, tetapi mengumpulkan bekalan akhirat dengan cara memberi khidmat kepada warga.
Bagi tahun 2025, Amir dan para pegawainya beriltizam mahu mengekalkan momentum perkhidmatan mereka kepada warga penduduk dengan lebih baik lagi sebagaimana telah diberikan sepanjang tahun 2024.
Terutama katanya, dalam mengambil tindakan segera ke atas setiap aduan penduduk bagi diselesaikan secepat mungkin, kecuali aduan-aduan tertentu yang perlu dipanjangkan atau melibatkan pihak-pihak lain.
Setidak-tidaknya beritahu beliau, pihaknya akan bertindak sebagai pemudah cara yang menghubungkan aduan atau keperluan penduduk dengan agensi atau jabatan berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Zakat Pulau Pinang.
Menurut beliau, walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut memberi peruntukkan kepada kawasan pembangkang iaitu RM60,000 setahun bagi tujuan infrastruktur dan prasarana melalui Pejabat Daerah, tetapi jumlah itu terlalu kecil.
Jelasnya, ia berikutan ketidakseimbangan pembangunan telah sedia wujud kerana sekitar 80 peratus kawasan diwakilinya, juga oleh ADUN pembangkang lain merupakan perkampungan yang umumnya tidak mempunyai infrastruktur atau prasarana asas.
Oleh demikian katanya, berdasarkan perkembangan semasa, banyak keperluan pembangunan perlu diadakan tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan kewangan itu yang disifatkannya kerajaan masih bersifat diskriminasi.
Beliau memberi contoh, walaupun kawasan kampung, tetapi pertambahan penduduk memerlukan saliran parit atau longkang berstruktur tetap diadakan bagi menangani masalah banjir yang melanda. – HARAKAHDAILY 5/2/2025











