
KUALA LUMPUR: Kelewatan edaran baja oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menjejaskan golongan peladang di beberapa negeri, termasuk Kelantan, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkata, sejumlah besar baja masih tertunggak, termasuk lebih 4,000 metrik tan di Kelantan dan 91,000 tan di Perlis, serta 8,000 tan di Kedah.
“Kita sepatutnya melihat tindakan yang lebih cekap dalam pengurusan Nafas seperti sebelum ini. Kenapa Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) tidak diutamakan, tetapi pengurusan sekarang lebih mengutamakan syarikat luar.
“Adakah kementerian maklum akan perkara ini dan apakah tindakan pembetulan yang perlu dilakukan,” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam soalan asal, beliau minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan strategi pembaharuan menyeluruh yang telah digariskan untuk melindungi reputasi dan integriti NAFAS serta memulihkan keyakinan ahli peladang di samping memantapkan pengurusan serta operasi NAFAS.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya akan mengkaji semula operasi yang telah dijalankan oleh NAFAS dan akan menambahbaikkan penstrukturan.
“Kita juga akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bebas untuk mengkaji semula operasi NAFAS dan juga memberi satu cadangan perancangan perniagaan untuk lima tahun akan datang. – HARAKAHDAILY 5/2/2025











