Perubahan acara Sukan SEA 2025: Malaysia perlu tegas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengambil pendirian tegas terhadap tindakan tuan rumah Sukan SEA 2025, Thailand, yang melakukan perubahan besar dalam acara sukan akan dipertandingkan.

- Advertisement -

Perkara ini dibangkitkan oleh Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.

Tegas beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia, perubahan tersebut memberi kelebihan kepada tuan rumah dan menjejaskan persiapan negara-negara lain, termasuk Malaysia.

“Saya rasa ini tidak adil untuk negara-negara yang menyertai Sukan SEA ini. Apa pendirian Malaysia? Kalau perlu, kita nyatakan secara tegas bahawa tuan rumah tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah acara sesuka hati,” katanya.

Menurut Afnan, perubahan dalam acara sukan perlu dimaklumkan lebih awal bagi membolehkan persediaan rapi dilakukan oleh setiap negara yang menyertai pertandingan.

“Sekiranya perubahan ini dilakukan secara tiba-tiba, ia akan menyukarkan atlet kita dan memberi tekanan kepada mereka.

“Kita perlu mencari jalan bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini serta memastikan atlet kita tetap bersedia dan mampu bersaing,” tambahnya.

Beliau turut memberi penekanan berkaitan sasaran pingat Malaysia yang kini lebih menumpukan kepada jumlah keseluruhan pingat berbanding warna pingat, kedudukan negara dalam ranking keseluruhan tetap ditentukan berdasarkan pingat emas dimenangi.

Pada soalan asal, Menteri Belia dan Sukan diminta menyatakan sasaran Malaysia dalam temasya Sukan SEA 2025 serta tahap kesiapsiagaan KBS berikutan keputusan Thailand menambah 15 acara baharu dan menggugurkan 10 acara lain dalam kejohanan tersebut. – HARAKAHDAILY 5/2/2025

- Advertisement -