Jalan makin teruk, desak PBT segera bertindak

ADUN Sungai Ramal, Mohd Shafie (kiri) berkata, pihaknya telah menerima banyak aduan daripada penduduk dan telah memanjangkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun sehingga kini masih tiada tindakan sewajarnya diambil. (FOTO: FB/Shafie Ngah)
- Advertisement -

BANGI: Penduduk di Jalan 3/13, Taman Kajang Utama, khususnya di laluan sekitar Apartment Cemara dan Apartment Seraya semakin bimbang dengan keadaan jalan yang berlubang dan rosak teruk, sehingga membahayakan keselamatan pengguna.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah berkata, keadaan jalan di kawasan itu boleh mengundang risiko kemalangan, terutama kepada penunggang motosikal pada waktu malam dan ketika hujan.

“Dah macam naik kuda, itulah perasaan semasa pasukan kami turun ke jalan itu. Apa yang kami lihat memang menyedihkan kerana jalan pecah berlubang di sana sini dan membahayakan pengguna jalan raya, terutama penunggang motosikal lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Setiap kali hujan, keadaan jadi lebih teruk. Lubang-lubang ini dipenuhi air, langsung tak nampak! Bayangkan kalau ada yang terbabas atau jatuh, siapa yang nak bertanggungjawab?” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Shafie berkata, pihaknya telah menerima banyak aduan daripada penduduk dan telah memanjangkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun sehingga kini masih tiada tindakan sewajarnya diambil.

“Takkan nak tunggu ada yang cedera atau lebih buruk lagi baru nak bertindak kan? Pihak kami akan menghantar aduan rasmi sekali lagi dan akan mendesak pihak PBT segera membaiki jalan ini.

“Sampai bila penduduk nak kena hadap jalan macam ini? Bila jalan rosak teruk, kenderaan yang lalu pun senang rosak. Bantulah, bertindaklah,” gesanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

- Advertisement -