
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa dalam sejarah panjang umat manusia, kebinasaan yang menimpa tamadun dan kerajaan besar sering kali berlaku akibat pengabaian terhadap nilai-nilai agama dan moral.
Beliau berkata, Allah telah menunjukkan tamadun besar seperti Umaiyyah, Abbasiyah, kerajaan Saljuk, Ayyubi, Fatimiyah, dan Mamluk yang suatu ketika dahulu gah di mata dunia akhirnya rebah kerana mengabaikan tanggungjawab terhadap agama dan keadilan.
“Sejarah ini menjadi cerminan untuk umat selepasnya,” kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan itu dalam media sosial miliknya.
Mohd Amar turut merujuk kepada kejatuhan tamadun Rom yang sangat maju pada zamannya, di mana walaupun bukan umat Islam, keadilan dan hak asasi manusia dipegang kuat pada awalnya.
“Namun apabila nilai-nilai kemanusiaan semakin hilang, mereka akhirnya runtuh. Sukan berdarah seperti perlawanan manusia dengan singa menjadi hiburan rakyat. Bayangkan tahanan yang tidak bersalah dibiarkan berhadapan dengan singa yang dibiarkan lapar selama beberapa hari.
“Kezaliman ini disaksikan oleh ribuan penonton yang bersorak gembira. Kemuncak hiburan mereka adalah keganasan, dan tamadun sebesar Rom itu akhirnya musnah apabila kemanusiaan lenyap dari jiwa mereka,” katanya.
Beliau turut menyebut bahawa dalam sejarah Islam, kejatuhan tamadun sering berpunca daripada keruntuhan akhlak dan kezaliman.
“Penyair terkenal Mesir, Syauqi Bey, menegaskan bahawa kejayaan suatu bangsa terletak pada akhlaknya. Selagi akhlak dipelihara, bangsa itu akan terus hidup mulia.
“Tetapi apabila akhlak mulia hilang, penipuan, rasuah, salah guna kuasa, zina, dan minum arak berleluasa, maka bangsa itu akan binasa,” jelasnya.
Pengajaran daripada Kerajaan Melayu Melaka dan Johor
Menurut Mohd Amar, Kerajaan Melayu Melaka juga tidak terkecuali, di mana ketika Sultan Mahmud berkuasa, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa melampaui batas.
“Cerita Tun Fatimah menjadi bukti bagaimana raja yang tunduk pada nafsu akhirnya membawa bala kepada negerinya. Sultan Mahmud sanggup merampas isteri orang lain tanpa peduli hukum agama atau nilai kemanusiaan.
“Akhirnya, Melaka jatuh ke tangan Portugis. Semasa baginda melarikan diri ke Muar, baginda sendiri mengakui bahawa serangan Portugis itu adalah balasan Allah atas dosa-dosa yang telah dilakukan.
“Walaupun peristiwa ini mungkin bercampur dengan unsur legenda, ia tetap memberikan pengajaran tentang kesan buruk pemerintahan yang zalim,” katanya.
Beliau berkata, sejarah kerajaan Johor juga memberikan pelajaran yang sama, di mana peristiwa tragis yang menimpa Dang Anum, isteri Laksamana Megat Seri Rama, memperlihatkan bagaimana kezaliman seorang raja menjadi sebab kejatuhan negerinya.
“Raja yang murka hanya kerana seulas buah nangka sanggup mengorbankan nyawa seorang wanita hamil.
“Kezaliman itu akhirnya mengundang pembalasan apabila Laksamana bangkit menuntut bela.
“Kezaliman yang dilakukan raja tidak hanya menghancurkan hubungan antara rakyat dan pemerintah tetapi turut mengundang kehancuran kerajaan itu sendiri,” jelasnya.
Menurut Mohd Amar, kisah Dang Anum sering dianggap sebagai sejarah lisan dengan unsur mitos, namun tetap mencerminkan pandangan masyarakat Melayu terhadap pentingnya keadilan dan bahayanya kezaliman dalam pemerintahan.
Keadilan asas segala pemerintahan
Beliau menegaskan bahawa Allah memelihara keadilan sebagai asas pemerintahan, di mana Ibn Taimiyyah dalam kitab As-Siyasah Asy-Syar’iyyah menegaskan bahawa pemerintahan yang adil akan terus dijaga oleh Allah walaupun tidak beragama Islam.
“Sebaliknya, pemerintahan yang zalim akan dihancurkan walaupun ia sebuah kerajaan Islam. Keadilan itu asas segala sesuatu,” katanya.
Beliau turut menyebut bahawa nama Allah sendiri, Al-‘Adlu, membawa makna Tuhan Yang Maha Adil dan memberikan hak kepada setiap makhluk dengan seadil-adilnya.
“Keadilan Allah tidak terhad kepada orang yang beriman sahaja. Kadang-kadang kita melihat orang kafir yang tidak solat, tidak berbuat kebaikan, tetapi hidup mereka kaya, panjang umur, dan seolah-olah lebih senang daripada kita yang berusaha mendekatkan diri kepada Allah. Itu adalah keadilan Allah.
“Dia memberikan apa yang hamba-Nya mahu di dunia ini. Namun, apabila saatnya tiba, Allah akan menghukum dan membalas segala kezaliman,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/1/2025











