
KOTA BHARU: PAS Kawasan Kota Bharu dikejutkan dengan pemergian Naib Yang Dipertua (YDP) kawasan berkenaan, Mortazi Ismail, yang meninggal dunia akibat serangan jantung, malam tadi.
Difahamkan, pada sebelah pagi, Allahyarham bersama Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengunjungi beberapa kediaman pemimpin Cina sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Namun, selepas itu, beliau mengadu kurang selesa untuk bernafas dan kkemudian pulang ke rumah sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.
Pada sebelah malam, berita diterima bahawa beliau telah ditidurkan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 11:46 malam.
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada perjuangan PAS, khususnya di Kota Bharu, kerana beliau dikenali sebagai seorang yang aktif dalam kerja-kerja amal Islam. – HARAKAHDAILY 30/1/2025











