Guna demokrasi untuk ajak manusia kepada Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menegaskan bahawa ulama memilih sistem demokrasi dalam negara Islam bagi menyampaikan dakwah secara damai dan mengelakkan pertumpahan darah.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, pilihan raya menjadi medium utama untuk memujuk masyarakat menerima Islam tanpa paksaan. 

“Dengan sebab itulah, ulama-ulama kita memilih di negeri Islam ini demokrasi. Masuk pilihan raya jangan perang lagi. Pilih secara pujuk, cara ajak orang.

“(Musuh) menipu, menipulah. (Kita) lawan penipu (dalam pilihan raya) itu. Macam-macam cara dia buat. Kena sabar. Selagi ada jalan damai pilih jalan damai dulu.

“Kerana kejayaan mengajak orang kepada Islam lebih besar pahalanya,” katanya dalam kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, di sini hari ini. 

Tuan Guru turut menekankan kepentingan melaksanakan dakwah dengan kesabaran dan strategi yang bijaksana.

Menurutnya, kejayaan membawa seseorang kepada hidayah Allah adalah lebih berharga daripada memiliki kenderaan paling mahal. 

“Nabi kata, terus laksanakan tugasmu. Sehingga berada di lapangan mereka. Jangan gopoh. Bila mu pergi ke ke lapangan mereka, depan kota mereka, jalankan tugas kemudian dakwahkan mereka kepada Islam.

“Dan beritahu mereka hak yang wajib ditunaikan kepada Allah demi sesungguhnya kejayaanmu menjadikan seseorang itu mendapat hidayah Allah, lebih baik kelebihannya daripada kenderaan yang paling mahal harganya,” jelasnya.

Beliau memetik nasihat Nabi SAW kepada Saidina Ali bin Abi Talib RA sebelum menyerahkan bendera kepadanya untuk memimpin tentera Islam menyerang Khaibar.

Tuan Guru turut menegaskan bahawa kelebihan seseorang yang berjaya memujuk orang menerima Islam membawa pahala yang sangat besar. 

“Mu berjaya pujuk orang-orang terima Islam, berjaya pujuk, dia terima Islam, berjaya dia terima Islam, orang kafir masuk Islam, orang Islam sedar balik ke Islam, pahala sangat besar lebih daripada kenderaan yang paling mahal harganya.

“Kapal terbang ke apa berapa juta? Kelebihan kita mengajak seorang saja. Ajak orang terima Islam, pahala dia lebih mahal daripada kenderaan yang paling mahal harganya,” jelasnya. 

Tuan Guru turut menyatakan bahawa kelebihan seseorang yang menerima Islam akan berterusan dan memberi manfaat kepada orang lain. 

“Kerana kelebihannya bila kita berjaya tarik orang, orang itu terima Islam dapat pahala. Dia ada anak isteri pula dapat pahala. Dia ajak orang lain pula dapat pahala.

“Ajak orang lain pula dapat pahala. Kita meninggal dunia, kita mati, kita mati. Orang menerima Islam lagi pula ajak orang lain. Pahala sampai walau kita dah mati. Ini kelebihan dia. Berpanjangan, hebat kelebihan dia,” katanya. 

Tuan Guru turut mengingatkan bahawa matlamat utama adalah untuk mengajak orang masuk Islam, termasuk mereka yang belum memahami Islam. 

“Jadi gitulah. Sedangkan matlamat kita nak ajak orang masuk Islam, orang-orang bukan Islam masuk Islam, orang kafir hat tak tahu Islam jadi tahu Islam, balik pada Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/1/2025

- Advertisement -
- Advertisement -