
KUALA LUMPUR: Islam pada kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia perlu difahami oleh seluruh rakyat khususnya para pemimpin politik negara ini sebagai menyeluruh, eksklusif dan inklusif.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, kedudukan Islam itu termaktub jelas dalam Perkara 3(1) yang turut menjamin kebebasan kepercayaan agama lain diamal secara aman damai.
“Islam adalah tonggak kenegaraan yang mengikat negara ini kepada nilai-nilai moral, sosial, dan perundangan yang universal serta selaras dengan keperluan masyarakat majmuk.
“Perkara 3(1) secara jelas menyatakan bahawa Islam ialah agama Persekutuan. Namun, Perlembagaan juga memberikan kebebasan beragama kepada rakyat, dengan syarat agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
“Namun, kebebasan ini tidak bermaksud kedudukan Islam boleh dipertikaikan atau dicabar. Perlembagaan memastikan keseimbangan antara kebebasan individu dan hak negara untuk mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang pada Minda Presiden PAS terkini beliau menegaskan kedudukan Islam dalam Perlembagaan dari artikel tulisannya bertajuk ‘Apabila DAP campur urusan Islam’.
Menurut beliau, ia bermaksud kedudukan Islam dimartabatkan dalam sistem perundangan dan pentadbiran negara, bukan hanya terbatas kepada aspek ibadah semata-mata, tetapi mencakupi prinsip moral, sosial, ekonomi, dan pendidikan yang membentuk struktur kenegaraan.
“Islam dalam Perlembagaan menjadi asas kepada keharmonian negara dan mengatur beberapa aspek perundangan, termasuk perkahwinan, warisan, dan hal ehwal keluarga umat Islam.
“Peranan institusi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), dan Mahkamah Syariah dalam memastikan undang-undang Islam dipatuhi dan dilaksanakan mengikut syariat,” katanya.
Mohd Zai turut menjelaskan bahawa sistem perundangan Malaysia mengamalkan dualisme, iaitu undang-undang sivil dan syariah, dengan pengiktirafan terhadap Islam sebagai asas perundangan bagi umat Islam di negara ini.
Tambah beliau, Islam turut memainkan peranan penting dalam membentuk identiti nasional Malaysia yang terdiri daripada kaum majmuk iaitu Melayu, Cina, India, Orang Asal, peribumi Sarawak dan Sabah, Siam dan lain-lain serta pelbagai agama.
“Dengan lebih 65 peratus penduduk beragama Islam, nilai-nilai Islam menjadi teras kepada perpaduan sosial dalam masyarakat majmuk. Sejarah menunjukkan bahawa Islam menyumbang kepada struktur sosial, budaya, dan nilai-nilai negara.
“Dalam majlis rasmi seperti sumpah jawatan dan upacara diraja, nilai-nilai Islam menjadi panduan utama. Islam ialah penyelamat ummah dan pemangkin kepada keharmonian Malaysia,” jelasnya.
Sehubungan itu beliau menegaskan, Islam dalam Perlembagaan bukan sekadar simbol,tetapi asas penting yang mencerminkan identiti, etika sosial dan sistem perundangan negara. – HARAKAHDAILY 24/1/2025











