
KUALA KRAI: Masjid Mukim Kecil Bandar Baru Kuala Krai atau lebih dikenali sebagai Masjid Ibnu Batutah, kini dalam pembinaan dan bakal menjadi pusat ibadah serta hentian musafir yang melalui Lebuh Raya Kuala Krai-Gua Musang.
Pengerusi Masjid Ibnu Batutah, Dr Mohd Azmi Yaacob berkata, masjid ini dibina untuk memudahkan penduduk setempat menunaikan solat Jumaat dan fardu selain memberikan kemudahan kepada musafir.
“Masjid ini mampu menampung 1,100 jemaah dan dirancang menjadi lokasi rehat serta rawat bagi mereka yang dalam perjalanan ke atau dari Kuala Lumpur dan kos pembinaannya dianggarkan melebihi RM11.7 juta,” katanya.
Masjid ini turut direka dengan seni bina ala Timur Tengah yang bakal menjadi mercu tanda baharu di Kuala Krai.
Beliau berkata, pekarangan masjid juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti taman rekreasi, medan selera, dan lain-lain untuk keselesaan pengguna.
“Antara komponen utama yang akan dibina ialah ruang solat, pejabat, bilik mesyuarat, ruang jamuan, bilik pengurusan jenazah, tandas awam, tandas OKU, menara masjid, kedai runcit, gelanggang bola keranjang dan pondok rehat musafir,” jelasnya.
Setakat ini, perkembangan pembinaan masjid telah mencapai 15 peratus.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk bersama-sama menyumbang bagi menjayakan projek ini.
“Bagi yang ingin menyumbang, boleh salurkan ke akaun Tetuan Masjid Mukim Kecil Bandar Baru Kuala Krai (Ibnu Batutah) di Bank Islam Malaysia: 03072010139591 atau hubungi 019-9076668 (Wan Helmi) untuk maklumat lanjut,” tambah beliau.
Masjid ini diharapkan menjadi pusat perpaduan umat serta simbol sokongan masyarakat terhadap pembangunan Islam di daerah ini. – HARAKAHDAILY 24/1/2025











