
KETIKA dunia menarik nafas lega dengan perkembangan gencatan senjata di Gaza, umat Islam di Jenin dan Tebing Barat terpaksa berhempas pulas menentang keganasan tentera Israel.
Gaza dan Tebing Barat adalah dua wilayah yang diberi kuasa pentadbiran kepada Palestin. Namun suasana dua wilayah ini berbeza.
Gaza didiami sepenuhnya oleh orang Arab sejak pengunduran Israel tahun 2005. Manakala Tebing Barat, penduduknya bercampur.
Pentadbiran di Tebing Barat juga masih cacamerba. Bidang kuasa yang diberi kepada pihak berkuasa Palestin, Israel turut masuk campur.
Gaza dikuasai sepenuhnya oleh HAMAS. Manakala Tebing Barat, kuasa pentadbiran diberi kepada Fatah. Presidennya Mahmud Abas atau digelar Abu Mazin.
Oleh kerana tiada Yahudi yang tinggal di Gaza, maka Israel boleh sesuka hati menabur bom di seluruh pelosok bumi Gaza yang berkeluasan lebih kurang 40 x 10 km.
Di Tebing Barat, mereka terpaksa menjalankan operasi menggempur kampung-kampung orang Islam, menyerbu masjid, menceroboh kebun dan ladang serta menutup laluan keluar masuk ke lokasi majoriti umat Islam. Mereka tidak boleh menggempur umat Islam dengan bedilan peluru berpandu, roket dan sebagainya.
Serangan di Gaza dilakukan dengan sasaran untuk menghapuskan pejuang-pejuang HAMAS dan Jihad Islami. Selama 470 hari mereka membedil segenap penjuru Gaza dengan 45,000 peluru berpandu, roket dan pelbagai jenis bom yang dianggarkan seberat antara 65,000 ke 80,000 tan.
Gaza hancur. Bagai padang jarak padang terkukur. Hampir semua masjid, sekolah, hospital dan rumah kediaman dimusnahkan. Melihatkan kemusnahan ini, ramai menyangka pejuang Palestin sudah pupus bersama runtuhan bangunannya.
Namun suatu yang menghairankan, ketika gencatan senjata bermula Ahad lalu, ribuan pejuang Kataib al-Qassam muncul dengan uniform rasmi dan senjata api di tangan masing-masing.
Menunjukkan serangan Israel selama 470 hari gagal membunuh perjuangan rakyat Palestin.
Israel terpaksa menerima gencatan senjata walaupun dibantah oleh sebahagian menteri dan pimpinan tentera.
Netanyahu tidak mampu lagi menghalang kebangkitan rakyat yang menuntut supaya dihentikan peperangan bagi memberikan laluan kepada proses pertukaran tawanan.
Sekiranya dia tidak menunaikan tuntutan itu, masa depan politiknya terancam. Dia tidak memiliki majoriti sendiri dalam kerajaan. Dia juga terancam dengan pelbagai dakwaan korupsi yang dihadapkan kepadanya oleh institusi undang-undang.
Justeru Netanyahu terpaksa berhadapan dengan rakan kabinet dan pimpinan tentera bagi menerima gencatan senjata.
Dia menyedari menerima gencatan senjata adalah satu bentuk kekalahan bagi Israel. Pejuang Palestin belum berjaya dihapuskan. Ribuan tenteranya terbunuh dan cedera. 41 peratus kereta kebal dan jentera lain dimusnahkan oleh pejuang Palestin.
Ratusan ribu rakyatnya sendiri telah bertindak berpindah dan sebahagiannya membuat keputusan meninggalkan terus bumi Palestin kerana merasa tidak selamat lagi tinggal di sana.
Ekonomi Israel jatuh teruk. Sektor pertanian kerugian USD540 juta sehari. Sektor pembangunan kerugian USD40.5 juta sehari. Industri pelancongan juga rugi USD1.1 juta.
Dengan ‘muka sembap’ mereka terpaksa berundur bagi memenuhi syarat-syarat gencatan senjata.
Namun sebagai kaum yang sinonim dengan ‘kejahatan’ gencatan senjata tidak menghentikan kejahatan mereka. Tak dapat buat jahat di Gaza, mereka mula membuat onar di Tebing Barat.
Sejak bermulanya gencatan senjata Ahad lalu, mereka meningkatkan kekacauan di Tebing Barat, khususnya di daerah Jenin.
Dalam tempoh tiga hari mereka telah membunuh 12 orang penduduk tempatan dan mencederakan 50 yang lain.
Terkini tentera mengepung sebuah rumah untuk menangkap dua orang pejuang dikenali sebagai Qutaibah Walid Syalabi dan Muhd As’ad Nizal. Kedua-duanya tidak menyerah, bahkan memilih untuk bertempur selama lima jam sebelum kedua-duanya terbunuh syahid.

Kekacauan di Tebing Barat sebenarnya bukan baru bermula 3 hari ini sahaja. Bahkan ia telah berlangsung hampir serentak dengan serangan di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Ia bermula dengan pencerobohan samseng Yahudi di perkampungan orang Islam. Kumpulan samseng bersenjata ini diberi perlindungan oleh pihak tentera untuk melakukan kekacauan di kawasan orang Islam.
Di pihak tentera pula, mereka menurunkan hampir semua unit tentera darat. Antaranya Briged Kfir yang dikenali sebagai kor infantri terbesar di bawah IDF.
Turut dilibatkan ialah 4 batalion pengawal sempadan, pasukan elit dan pasukan penyamaran serta kor jurutera. Gabungan tentera ini berisiko melakukan kemusnahan besar-besaran.
Mereka sewenang-wenangnya masuk ke kampung orang Islam, merobohkan rumah kediaman, merosakkan tanam-tanaman, membakar dan menghalau penduduk kampung.
Jentolak dihantar ke lokasi untuk merobohkan rumah orang Islam dan merosakkan jalan raya.
Jika di Gaza, mereka mengepung dan mengebom hospital untuk menghalang daripada memberikan rawatan kepada warga yang cedera, maka di Tebing Barat juga mereka cuba menghalang hospital dari memberi rawatan.
Mereka membuat sekatan laluan ke hospital dan pusat rawatan Palang Merah.
Selama tempoh Tufan al-Aqsa ini mereka telah menangkap 10,400 Palestin, 340 daripada mereka adalah kanak-kanak.
Apa yang dilakukan ini sama dengan operasi menghalau penduduk tempatan pada tahun 1948.
Sejak 2002, mereka menekan rakyat di Tebing Barat supaya berpindah agar mereka dapat membina penempatan untuk pendatang-pendatang haram Yahudi.
Sehingga kini usaha mereka telah mencapai sasaran menambah bilangan pendatang kepada 800,000 orang pada tahun ini berbanding hanya 70,000 sahaja pada 2002.
Operasi ini juga dilihat sebagai satu usaha untuk menguasai sepenuhnya Masjid al-Aqsa secara berperingkat.
Peringkat pertama telah berjaya mereka capai dengan pencerobohan demi pencerobohan pendatang Yahudi ke dalam kawasan Masjid al-Aqsa.
Peringkat seterusnya mereka sedang berusaha untuk membina kuil Yahudi di dalam kawasan masjid berkenaan. Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Pertahanan Israel, Itamar Ben-Gvir ketika menceroboh Masjid al-Aqsa tahun lalu.
Peringkat ketiga, ialah cita-cita tertinggi mereka iaitu hendak merobohkan Masjid al-Aqsa bagi membina kompleks yang mereka gelar sebagai Haikal Sulaiman.
Apa yang lebih mendukacitakan, operasi Israel ini mendapat kerjasama dari pasukan keamanan Pihak Berkuasa Palestin pimpinan Mahmud Abas. Beberapa minggu sebelum gencatan senjata, mereka menggempur kawasan-kawasan yang disyaki sebagai kubu pejuang Palestin.
Ramai yang dibunuh dan ditangkap. Serentak dengan itu juga, Pihak Berkuasa Palestin menutup pejabat operasi Al-Jazeerah di Tebing Barat untuk menghalang stesen TV berkenaan membuat liputan mengenai operasinya.
Pada 19 Januari, ketika sedang membuat liputan proses pertukaran tawanan, beberapa orang wartawan Al-Jazeerah ditahan pasukan keamanan Pihak Berkuasa Palestin. Mereka ialah Imad Said, Jalal Buwaital dan Jifara al-Badiri.
Semalam (Khamis 23 Jan 2025) seorang lagi wartawan Al-Jazeerah ditahan kerana ‘kesalahan membuat liputan’ operasi pihak berkuasa Palestin. Pasukan keamanan menggempur rumahnya di bandar Al-Khalil bagaikan memburu seorang penjenayah.
Operasi pasukan keamanan Pihak Berkuasa Palestin pimpinan Mahmud Abas disambut dengan senyuman oleh pengganas Israel!
ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 24/1/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.












