Bachok jajahan pertama lawatan kerja MB 2025

- Advertisement -

BACHOK: Menteri Besar memulakan lawatan kerja pertama beliau pada 2025 ke jajahan Bachok bagi meninjau lebih dekat perkembangan pembangunan dan agenda kesejahteraan rakyat.

- Advertisement -

Dalam siri lawatan tersebut, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud bersama kepimpinan kerajaan negeri hadir majlis perasmian Bandar Baru Jelawat di sini pagi semalam.

“Pembukaan bandar-bandar baru yang terancang dan tersusun merupakan bukti kesungguhan dan komitmen kita dalam meningkatkan sosio ekonomi rakyat dan melalui pembangunan ini.

“Ia mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dengan mencipta peluang pekerjaan, memperkasakan perniagaan serta meningkatkan daya saing ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian dan penyerahan Bandar Baru Jelawat yang diadakan perkarangan pasar awam bertingkat, di sini.

Turut hadir pada majlis itu Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman dan Hilmi Abdullah serta Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Yang Dipertua MDBBPI, Shamsul Abu Bakar.

Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDBBPI) melalui usahasama dengan sebuah syarikat swasta, Induk Setia Sdn Bhd membina di atas tanah seluas 21.45 ekar.

Pada majlis itu beliau menyampaikan geran hakmilik tanah 50 penduduk sekitar parlimen Bachok membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Irama, Jelawat dan Tawang.

“Syabas dan tahniah juga saya ucapkan buat 50 penerima geran hakmilik tanah bagi jajahan Bachok yang akan disampaikan sebentar lagi dan ingatlah bahawa tanah ini adalah amanah.

“Oleh itu, manfaatkanlah dengan sebaik-baiknya untuk kebaikan diri,
keluarga, dan masyarakat sebagai tanda syukur kepada Allah SWT atas rezeki dan nikmat diberikan-Nya,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/1/2025

- Advertisement -