Pelaksanaan WBB tekanan kepada petugas perubatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang berpotensi menambah tekanan kepada petugas perubatan.

- Advertisement -

Pengerusinya, Dr Reen Amin berkata, KKM perlu mendengar pandangan menyeluruh daripada pihak berkepentingan, khususnya para doktor yang bertugas di lapangan.

Menurut beliau, sebarang perubahan dasar yang melibatkan sistem penjagaan kesihatan harus dipertimbangkan dengan teliti.

“Sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, WBB masih berada di peringkat cadangan dan belum diluluskan. Sesi libat urus yang lebih inklusif harus dilaksanakan, terutama dengan doktor dan petugas kesihatan.

“Sesi ‘town hall’ yang diadakan secara tergesa-gesa sebelum ini kurang berkesan dalam menyelesaikan kebimbangan petugas kesihatan, ” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Beliau berkata, walaupun WBB bertujuan meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan, realitinya ia berisiko menambah beban kerja akibat kekurangan tenaga kerja.

Sistem kerja syif, memerlukan jumlah tenaga kerja yang lebih besar untuk memastikan kelancaran operasi.

“Dalam satu kenyataan YBMK pada 19 Disember 2024, lebih 6,000 Pegawai ataupakar perubatan KKM meletakkan jawatan sejak 5 tahun lalu. Situasi ini membuktikan bahawa isu kekurangan tenaga kerja mesti ditangani secara holistik sebelum WBB dilaksanakan,” ujarnya.

Menurut Dr Reen lagi, perubahan struktur elaun seperti pemansuhan elaun ‘on call’ pada hari bekerja turut menimbulkan kebimbangan kerana pendapatan doktor kerajaan sudah sedia terjejas, dan langkah ini hanya akan memburukkan lagi keadaan.

“Jumlah jam kerja mingguan sebanyak 45 jam tidak boleh disetarakan dengan tanggungjawab menjaga keselamatan nyawa pesakit. Kami mengesyorkan kenaikan elaun ‘on call’ agar kebajikan para doktor terus terpelihara,” tambahnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa pelaksanaan WBB boleh menjejaskan kesejahteraan mental dan fizikal para doktor disebabkan beban kerja tinggi dan waktu kerja tidak menentu, termasuk syif berganda, meningkatkan risiko kesihatan mental buruk dalam kalangan petugas.

“Sistem syif juga menyebabkan petugas kehilangan masa berkualiti bersama keluarga, sekali gus memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental mereka,” katanya lagi.

Oleh itu, kerajaan perlu memberikan perhatian khusus kepada sokongan mental, waktu rehat mencukupi, dan insentif bagi memastikan kesejahteraan mental dan fizikal para doktor serta petugas kesihatan sentiasa terjaga.

“Kami menyeru agar YBMK dan kementeriannya menghadapi kemelut ini dengan bijaksana dan bukannya berfokus kepada menyalahkan pihak tertentu.

“Tindakan ini mencerminkan tadbir urus yang lemah di pihak KKM itu sendiri. Ianya juga dilihat sebagai cubaan mengalihkan fokus daripada isu sebenar yang harus ditangani.

“Kami ingin menegaskan bahawa sistem penjagaan kesihatan yang kukuh memerlukan reformasi menyeluruh, termasuk peningkatan peruntukan kepada sektor kesihatan, penambahan tenaga kerja, dan memperbaiki infrastruktur,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata WBB perlu dikaji semula dengan teliti, dan sebarang keputusan hendaklah berpandukan kepada kesejahteraan petugas serta keselamatan pesakit sebagai keutamaan.

“Kami berharap agar KKM dapat memastikan bahawa sebarang perubahan dasar dibuat dengan pertimbangan yang mendalam dan adil sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.

“Tindakan yang terburu-buru bakal membawa kepada keruntuhan sistem kesihatan negara, sekaligus memberi impak negatif kepada penjagaan nyawa serta keselamatan pesakit di Malaysia.” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2025

- Advertisement -