Larangan jualan arak kawasan majoriti Muslim

Perlu disokong semua pihak

- Advertisement -

PARIT: Keputusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memperluaskan pelaksanaan dasar larangan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Islam adalah langkah yang wajar dan selaras dengan keperluan penduduk setempat.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, tindakan MBI itu bukanlah sesuatu yang baharu, malah dasar sama telah berjaya dilaksanakan di Gugusan Manjoi sebelum ini tanpa menimbulkan sebarang masalah besar.

Menurut beliau, arak adalah punca kepada pelbagai masalah sosial, termasuk jenayah, kemalangan jalan raya, keganasan rumah tangga, dan masalah kesihatan.

“Statistik membuktikan bahawa penyalahgunaan alkohol memberikan kesan buruk yang serius bukan sahaja kepada individu yang terlibat, malah kepada keluarga, masyarakat, dan negara.

“Usaha untuk mengehadkan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Islam adalah langkah proaktif yang perlu disokong oleh semua pihak.

“Malaysia adalah negara yang menghormati agama dan kepercayaan pelbagai komuniti, tetapi perlu ada keutamaan terhadap sensitiviti dan kesejahteraan masyarakat majoriti di kawasan tertentu,” ujarnya.

Ustaz Ismi juga menjelaskan bahawa bantahan terhadap dasar ini tidak berasas dan hanya menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap keputusan yang diambil demi kebaikan bersama.

Langkah ini juga bertujuan untuk memupuk masyarakat yang lebih sihat dan produktif, bebas daripada kesan negatif penyalahgunaan alkohol.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar diberikan sokongan penuh dalam melaksanakan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya menyeru semua pihak, termasuk parti politik terutamanya MCA, untuk menghormati keputusan ini dan mengutamakan perpaduan serta kesejahteraan rakyat.

“Malah, seharusnya tidak ada kompromi apabila melibatkan keselamatan dan kualiti hidup masyarakat. Segala bantahan tidak berasas hanya akan mengundang ketegangan dan mengalihkan fokus daripada isu-isu yang lebih penting.

“Keputusan ini adalah langkah bijak dan berani yang mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan untuk menjaga keharmonian masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/1/2025

- Advertisement -