KMSB perlukan saliran lengkap elak ditimpa banjir

- Advertisement -

SUNGAI BULOH: Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pertemuan bersama wakil penduduk Kampung Melayu Sungai Buloh (KMSB).

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, pertemuan itu membincangkan isu cadangan pembinaan sistem saliran lengkap di kawasan Lot 122 hingga Lot 137 berdekatan Jalan Kampung Melayu Batu 13.

“Kawasan lot tersebut sering ditimpa banjir kilat setiap kali hujan lebat disebabkan sistem saliran sedia ada tidak mampu menampung air yang banyak.

“Seterusnya, kami bersama membuat tinjauan tapak ke kawasan yang terkesan dengan banjir kilat dan longkang, serta parit yang tersumbat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, bersama wakil pusat khidmat turut melakukan tinjauan tapak bagi menilai secara langsung keadaan kawasan yang terjejas.

“Pihak pusat khidmat mengambil serius perkara ini dan akan membawa kepada pihak berkuasa untuk diambil perhatian, serta tindakan bagi mengatasi isu-isu yang dihadapi para penduduk,” katanya.

Justeru, beliau akan memberi jaminan untuk terus memantau perkembangan isu itu dan memastikan langkah-langkah sewajarnya diambil demi kepentingan rakyat. – HARAKAHDAILY 23/1/2025

- Advertisement -