Khatan: ‘Ni kena suntik ke, sakit tak?’, ‘Boleh balik dulu?’

Program berkhatan sempena cuti sekolah berjalan dengan lancar. (FOTO: FB/Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi)
- Advertisement -

KHATAN secara beramai-ramai pada musim cuti persekolahan menjadi tradisi yang bukan sahaja memudahkan ibu bapa, tetapi juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.

- Advertisement -

Ketua Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional (PN), Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi turut berkongsi pengalamannya sebagai seorang doktor yang terlibat secara langsung dalam program itu.

“Sudah bertahun-tahun saya menjalankan tugas ini, dari bayi baru lahir berusia empat hari hingga anak-anak sekolah menengah yang tinggi lampai (tapi tiba-tiba kecil hati bila nak masuk bilik sunat).

“Apa yang menarik tentang musim ini ialah peluang untuk berjumpa dengan pelbagai jenis ibu bapa dan anak-anak. Ada ibu bapa yang datang dengan wajah penuh debaran, macam mereka pula yang nak disunatkan.

“Ada juga yang buat-buat tenang sambil berpesan kepada anak, ‘Tak sakit pun. Kejap je!’ Walhal, tangan mereka sendiri berpeluh,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, Selangor turut berkongsi pengalaman menarik sepanjang program tersebut yang disertai oleh pelbagai gelagat lucu kanak-kanak.

“Anak-anak pula macam-macam ragam. Ada yang masuk bilik dengan langkah berani, ‘Saya tak takut’, tapi lepas nampak alat-alat di meja, terus suara berubah, ‘Eh.. boleh balik dulu tak?’

“Ada juga yang tak habis-habis bertanya soalan, ‘Ni kena suntik ke? Sakit tak? Lama ke? Ada hadiah tak lepas ni?’. Kadang-kadang terasa macam saya kena duduk jawab soalan dalam sidang media. Paling kelakar bila ada yang cuba buat rundingan.

“Ada seorang budak ni pernah cakap, ‘Kalau saya tak menangis, boleh tak saya tak payah kena sunat?’ Saya hanya mampu tersenyum dan jawab, ‘Kalau tak menangis, nanti dapat hadiah. Tapi sunat tu tetap kena, dik’,” katanya.

Namun bagi beliau, saat yang paling manis adalah ketika melihat kelegaan di wajah ibu bapa selepas semuanya selesai, serta kegembiraan anak-anak menerima ganjaran kecil seperti aiskrim dan mainan (walaupun ada yang masih jalan terkepit).

“Semuanya memberikan saya kepuasan tersendiri. Setiap episod ada kisahnya, setiap anak ada memorinya. Cuti sekolah ini, musim sunat terus berjalan. Siap sedia untuk kisah-kisah baru dan gelagat-gelagat yang mencuit hati,” katanya.

Sementara Majlis Program Khatan Perdana anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Kedah pada cuti sekolah ini juga turut mendapat sambutan menggalakkan dan berjaya menggamit 103 peserta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar bekas pemain bola sepak profesional Kedah dan Malaysia itu berkata, pihaknya tidak mengenakan bayaran khusus tetapi menerima seikhlas hati yang mampu diberi oleh ibu-bapa atau waris peserta.

“Majlis ini lebih kepada memberi peluang kepada anak-anak keluarga kurang berkemampuan, selain dapat bersama mengeratkan siratul-rahim,” kata beliau.

Majlis yang diadakan bertempat di PKWR DUN Gurun itu, dikendalikan oleh pengamal perubatan dari Yayasan Amal Malaysia dan Pertubuhan Amal Bakti selain turut dibantu oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerai dan Ahli Jawatankuasa PKWR DUN Gurun sendiri.

Pelbagai ekspresi wajah anak-anak peserta yang mencuit hati pengunjung, khususnya ibu-bapa dan waris dapat dilihat mempamer keceriaan melambangkan berani diri, ada juga berwajah selamba, tak kurang cemas bimbang, takut, serta tidak terkecuali menangis.

Mungkin itu antara perkara biasa pada program khatan, tetapi hakikatnya ia juga kejayaan untuk mereka melangkah ke alam dewasa.

Sementara itu Baddrol turut mengambil kesempatan, ‘memandikan’ para peserta secara beramai-ramai dengan bantuan khidmat pasukan Bomba dan bergambar kenang-kenangan sebelum khatan bermula. – HARAKAHDAILY 23/1/2025

- Advertisement -