Kaum Tiong Hua dirai sempena Tahun Baru Cina

- Advertisement -

ALOR SETAR: Seramai 60 penerima dari kalangan masyarakat Tiong Hua menerima sumbangan Tahun Baru Cina yang disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada satu majlis di Wisma Darul Aman, semalam.

- Advertisement -

Sumbangan berupa hamper dan wang tunai disampaikan kepada 30 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti dan 30 lagi penerima dari Persatuan Penduduk Teluk Wanjah.

Menurut Sanusi, majlis pada petang itu sebagai gimik penyerahan, sementara sumbangan seterusnya akan diadakan di setiap DUN seluruh Kedah.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, masyarakat Tiong Hua dalam kalangan kurang berkemampuan akan menerima sumbangan khas dari Kerajaan Negeri Kedah.

“Sumbangan itu akan disampaikan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seluruh Kedah kepada penerima yang telah dikenal pasti,” kata beliau.

Dalam pada itu, Sanusi turut memaklumkan kerajaan negeri akan mengadakan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina pada 16 Februari depan, bagi meraikan masyarakat Tiong Hua pada tahun ini.

“Sambutan itu akan diadakan di Gerbang Muhibbah, Pekan Cina dan akan dihadiri Tuanku Sultan Kedah,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu lagi.

Dalam masa yang sama ujarnya, kerajaan negeri juga telah meluluskan cuti sempena Thaipusam pada 11 Februari akan datang.

Cuti tersebut katanya, dilulus sempena Cuti Peristiwa untuk membolehkan penganut agama Hindu meraikannya. – HARAKAHDAILY 23/1/2025

- Advertisement -