
MACHANG: Pusat Khidmat DUN Pulai Chondong telah menyumbangkan pelbagai peralatan kepada masyarakat di kawasan itu, dengan kos keseluruhan sebanyak RM47,000.
Sumbangan berkenaan turut melibatkan Skim Khairat Kematian Kifaalah sebanyak RM13,000.
Selain itu, bantuan berkenaan melibatkan beberapa kategori, termasuk peralatan pertanian kepada 32 penerima, sumbangan Tabung Usahawan Wanita kepada tiga penerima.
Menurut ADUN Pulai Chondong, Azhar Salleh, sumbangan kepada usahawan wanita terdiri daripada peralatan seperti mesin jahit dan mesin penguli tepung bagi membolehkan mereka menjana pendapatan dari rumah.
“Bagi peralatan pertanian, ia melibatkan bantuan seperti pam racun, pam penabur benih, mesin rumput, enjin air, dan mesin penebang pokok.
“Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban para penerima di samping menyokong usaha mereka untuk meningkatkan taraf hidup,” tambah beliau selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan di pejabat DUN semalam.
Tambahnya, inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Pulai Chondong dalam membantu masyarakat setempat secara berterusan demi meningkatkan ekonomi mereka. – HARAKAHDAILY 22/1/2025











