
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan komited dalam menangani pelupusan sisa pepejal secara lebih sistematik agar selari dengan aspirasi negeri ke arah pengukuhan alam sekitar yang lebih padu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah memaklumkan mengenai Tapak Pelupusan Sampah Kok Bedollah di Pengkalan Nangka, Tumpat.
Katanya, ia pusat pelupusan sisa pepejal ketiga yang diuruskan oleh Pengurusan Sisa Pepejal Mubaarakan Sdn Bhd (PSPM) melalui usahasama dengan Greenviro Solution Sdn Bhd (GSSB).
Beliau yang juga Pengerusi PSPM memberitahu, GSSB merupakan syarikat berpengalaman dalam pengurusan tapak pelupusan di Malaysia dan Brunei, manakala PSPM ialah syarikat bersekutu Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM).
“PSPM bertanggungjawab mengurus tapak pelupusan terbesar di Kelantan merangkumi Tapak Pelupusan Beris Lalang (TPBL) yang diguna sama oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI)
“(Juga) Majlis Daerah Bachok (MDB), Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan Majlis Daerah Ketereh (MDK). Secara puratanya penerimaan sisa pepejal harian di TPBL ialah sebanyak 350 tan sehari,” katanya lagi.
Hilmi turut memberitahu, sebuah lagi tapak pelupusan terletak Bukit Che Ros, Tanah Merah yang menerima sampah daripada Majlis Daerah Tanah Merah dan Majlis Daerah Machang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pengurusan TP Kok Bedollah di antara KUM, MDT dan PSPM di sebuah hotel, semalam.
Terdahulu, perjanjian tersebut dimeterai oleh Pengurus Besar KUM, Dr Mohd Roshdi Hassan dengan Yang Dipertua MDT, Wan Ahmad Suwaidi Zainal Abidin.
Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PSPM, Amir Asri Abdul Salam memaklumkan bahawa pihaknya cuba memanjangkan hayat tapak pelupusan di Kok Bedolah agar pihak MDT tidak perlu mencari tapak pelupusan lain.
Katanya, tapak berkenaan kini menerima 82 tan sampah sehari yang datang dari jajahan Tumpat sahaja tidak termasuk musim perayaan dan pasca banjir.
“Perjanjian kita dengan MDT ialah 21 tahun dan diperbaharui setiap 5 tahun sekali. Kami berusaha untuk cuba mengelakkan MDT membuka tapak baharu kerana kosnya tinggi,” katanya lagi.
Pada masa sama jelas Amir lagi, pihaknya sedaya mungkin berusaha mengurangkan sisa pepejal yang ada untuk mewujudkan persekitaran mesra alam.
Tambahnya, ketika musim banjir fasa pertama Disember tahun lepas, pihaknya menerima 300 tan sampah sehari menerusi sampah pasca banjir selama 20 hari. – HARAKAHDAILY 22/1/2025











