
KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) telah menggerakkan misi bantuan dan kemanusiaan ke Syria diketuai Pengarahnya, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah.
Usaha sokongan kepada rakyat Syria yang masih dicengkam derita itu berikutan peningkatan jumlah pelarian dan tahap kemiskinan terus memuncak selepas kejatuhan pemerintahan kuku besi rejim Bashar al-Assad pada 8 Disember lalu.
Mohd Yusni Mat Piah berkata, walaupun menempuh pelbagai cabaran termasuk menggunakan jalan darat dan prosedur yang ketat, PASRelief akhirnya sampai ke bumi bertuah itu.
“Perjalanan darat ini penuh dengan cabaran, termasuk melalui sempadan Lubnan-Syria di border Masnaa yang mempunyai prosedur ketat dan situasi yang tidak menentu.
“Namun, dengan keizinan Allah dan sokongan semua, delegasi PASRelief berjaya melangkah ke tanah Syria untuk menyampaikan amanah bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Menurut beliau, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang, penyokong, dan mereka yang tidak henti-henti mendoakan kelancaran misi ini.
“Walaupun perjalanan ini penuh dugaan, tekad kami untuk meringankan beban saudara-saudara kita tetap utuh.
“Doakan keselamatan delegasi PASRelief di sana dan semoga usaha kecil ini membawa manfaat besar kepada mereka yang sedang diuji,” katanya.
Pada 8 Diember tahun lalu, kumpulan pembebas Syria mendakwa mereka telah berjaya menawan ibu kota Damsyik, sekali gus mengumumkan kejatuhan kerajaan pimpinan Bashar al-Assad.
Mereka turut mengisytiharkan Damsyik sebagai wilayah bebas daripada cengkaman pemimpin tersebut.
Konflik yang meruncing itu turut mendapat perhatian dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menyatakan akan memantau rapat situasi berkenaan.
Pada 29 Nov, kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (dahulunya dikenali sebagai Nusra Front yang diharamkan di Rusia) bersama beberapa kumpulan bersenjata lain melancarkan operasi besar-besaran terhadap kerajaan Syria.
Mereka bergerak dari utara wilayah barat laut Idlib ke arah bandar Aleppo dan Hama dan sehari kemudian, Aleppo, bandar kedua terbesar di Syria berada di bawah kawalan penuh buat kali pertama sejak konflik bermula pada 2011.
Pada 5 Dis, Kementerian Pertahanan Syria mengumumkan bahawa angkatan bersenjata Syria telah berundur dari bandar Hama selepas pertempuran sengit. – HARAKAHDAILY 21/1/2025











