
HULU SELANGOR: ADUN Hulu Bernam, Muhammad Muiz Mahyuddin memuji tindakan dilakukan Masjid Al-Taufiqiah, Kampung Soeharto, di sini bagi meningkatkan jumlah jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau berkata, anak kariah perlu dijaga bagi memastikan mereka terus mengamalkan agama dalam setiap aspek kehidupan.
“Saya rasa bangga dengan usaha yang dilakukan oleh pihak masjid bagi menjaga anak kariah agar terus mengamalkan agama dalam kehidupan mereka. Saya dimaklumkan bahawa sebelum ini kehadiran jemaah untuk solat Jumaat amatlah membimbangkan.
“Antara usaha yang dilakukan adalah, para AJK (Ahli Jawatankuasa) telah menyediakan satu ‘flyers’ di mana di dalamnya terdapat ayat-ayat Al-Quran serta hadis yang menyeru untuk solat Jumaat.
“Mereka para AJK akan pergi rumah ke rumah untuk mengedarkan ‘flyers’ tersebut. Alhamdulillah, dari semasa ke semasa terdapat peningkatan jemaah yang hadir. Alhamdulillah,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Hulu Selangor turut mendoakan agar usaha pihak masjid itu diberkati oleh Allah SWT.
“Saya juga diberitahu bahawa pihak masjid sedang dalam usaha untuk membantu surau-surau yang ada dalam kampung ini, agar majlis-majlis ilmu dapat dibuat di setiap surau agar masyarakat dapat meningkatkan ilmu terutama ilmu Fardu Ain yang asas.
“Saya doakan agar mereka semua diberi kekuatan untuk melaksanakan usaha islah dalam masyarakat, dan usaha murni ini diberkati Allah SWT, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2025











