
KEMAMAN: Insiden tular melibatkan seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) mental dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, di sini Jumaat lalu, tidak seharusnya dijadikan isu politik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, kejadian tersebut adalah isu kemanusiaan dan tiada kaitan dengan politik.
“Ini bukan isu politik. Ini adalah isu kehidupan tanpa mengira bangsa, agama, dan saya harap mana-mana yang cuba nak politikkan isu ini, saya rasa lebih baik tinggalkan saja,” katanya dalam satu hantaran video di laman sosial miliknya, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Terengganu juga sentiasa memberi perhatian kepada semua golongan termasuk OKU, persatuan penjaja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kita sentiasa memberi kursus seminar nasihat kepada mereka. Cuma kejadian yang berlaku itu spontan dan di khalayak orang ramai dan mungkin ada perasaan ego dan seumpamanya,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, kejadian tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Kes ini kita serahkan kepada polis dan kita minta mahkamah mengadili sebaik-baiknya. Namun, kita harap kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
“Kita harap keluarga masing-masing (yang mempunyai pesakit OKU) menjaga dengan baik dan pastikan ubat yang dibekalkan oleh doktor dimakan seperti yang disarankan,” katanya.
Hanafiah juga menyeru masyarakat agar memiliki etika kehidupan yang lebih baik, bertindak secara berhemah, serta tidak bertindak ganas terhadap individu OKU atau sesiapa sahaja.
“Walaupun marah, kita perlu bersabar dan berusaha memaafkan. Jika ingin mengambil tindakan, biarlah dalam kadar yang wajar dan tidak terlalu zalim. Kita semua adalah hamba Allah SWT yang dituntut untuk berkorban dan saling memaafkan,” tambahnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri berkata, peristiwa tersebut harus menjadi pedoman bagi masyarakat, khususnya di Terengganu, agar tidak mengulangi kesalahan sama.
Hanafiah turut berkongsi bahawa sehari selepas kejadian, isteri mangsa telah membawa anaknya berkhatan di bawah anjuran DUN Cukai.
“Sehari lepas OKU ini kena dibelasah, isteri dia bawa anak dia berkhatan dengan saya dan saya meraikan kerana saya tahu ayah dia tak ada dan saya duduk dengan anak dia semasa nak berkhatan.
“Maknanya awal lagi kita telah memberikan motivasi kepada isteri dia. Apa pun saya harap ianya bukanlah kisah politik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/1/2025











