
KOTA BHARU: Pendidikan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) terus menjadi pilihan utama masyarakat sebagai platform asas membentuk generasi cemerlang di peringkat prasekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail berkata, masyarakat mesti mempertahankan institusi PASTI memandangkan pendidikan akhlak bermula di sini.
Menurutnya, PASTI telah lama dikenali dan terus dipercayai oleh ibu bapa yang tidak jemu menghantar anak-anak mereka ke prasekolah ini.
“Pelajar PASTI yang memasuki sekolah kebangsaan sering diakui lebih ke hadapan oleh para guru sewaktu menerima pelajaran di peringkat sekolah rendah,” katanya.
Beliau turut menyatakan ramai ibu bapa, termasuk yang bekerja di peringkat kementerian atau sebagai pegawai kerajaan, memilih PASTI kerana menyedari keistimewaan dimilikinya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Ihtifal PASTI Nurhidayah di Kampung Kor, Salor, dekat sini kelmarin.
Tambahnya, dengan yuran serendah RM50, PASTI masih mampu menawarkan pendidikan berkualiti tinggi.
“Dalam situasi ekonomi kini, yuran seperti ini sangat rendah dan tidak membebankan, malah mampu membantu golongan kurang berkemampuan menghantar anak-anak mereka ke sini,” tambahnya.
Saizol turut menekankan, pendidikan agama dan akhlak sejak kecil adalah pelaburan penting untuk masa depan anak-anak.
Beliau berharap kesinambungan pendidikan PASTI dapat diteruskan di sekolah rendah Islam atau sekolah aliran Yayasan Islam Kelantan (YIK) sehingga ke peringkat menengah.
“Dalam DUN Salor sahaja, terdapat 10 PASTI dengan lebih 450 pelajar. Jumlah ini semakin meningkat saban tahun, menunjukkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan PASTI,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar terus menyokong PASTI sebagai benteng pendidikan akhlak dan agama untuk generasi muda. – HARAKAHDAILY 20/1/2025











