Minggu Al-Quds Sedunia peringkat kebangsaan 2025

Berlangsung di Perlis, 25 Jan ini

- Advertisement -

KANGAR: Perlis bakal mencatat sejarah sebagai tuan rumah Majlis Pelancaran Minggu Al-Quds Sedunia 2025, sebuah acara penting menghimpunkan umat Islam untuk menyatakan solidariti terhadap Palestin.

- Advertisement -

Acara ini akan berlangsung pada 25 Januari 2025 ini (Sabtu), bertempat di Dataran ABC Majlis Agama Islam Perlis (MAIPS), di sini dari jam 6 petang hingga 11 malam.

Pelancaran akan dimulakan dengan Konvoi Minggu Al-Quds pada petang Sabtu yang bakal disempurnakan Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai simbolik kebangkitan kesedaran umat Islam mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

Pada sebelah malam, majlis akan dimeriahkan dengan persembahan Soutul Amal bermula jam 8 malam, diikuti sesi Talkshow bertemakan ‘Al-Aqsa: Masjid & Amanah Kita’.

Ia akan menampilkan panelis Ustaz Nabil Ahmad dan selebriti, Haryati Hamzah atau lebih dikenali Yat Hamzah serta ADUN Penaga, Ustaz Yusni Mat Piah selaku Ahli Jawatankuasa  Pertubuhan Pencinta Baitul Maqdis.

Moderator bagi sesi tersebut adalah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin.

Sesi Pidato ‘Al-Aqsa: Masjid & Amanah Kita’ pula akan bermula selepas sesi talkshow menampilkan Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Aminurrasyid Yatiban.

Juga Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS),
Imran Sulaiman dan Pengerusi Yayasan Isra’ Malaysia, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman, serta wakil Pusat Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Badereddin Seyam.

Sebagai kemuncak, majlis perasmian Minggu Al-Quds Sedunia 2025 akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Penganjuran acara ini bertujuan memperkukuhkan solidariti umat Islam dalam mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Semua rakyat Malaysia dijemput hadir bagi menunjukkan keprihatinan terhadap isu ini. – HARAKAHDAILY 20/1/2025

- Advertisement -