Umum moratorium klausa zalim yang mahu dipinda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengumumkan moratorium terhadap klausa-klausa zalim dalam undang-undang berkaitan kebebasan media dan kebebasan bersuara yang mahu dipinda.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, terutama bagi klausa-klausa zalim dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Akta Hasutan.

“Secara logiknya, jika kerajaan sudah tahu klausa mana yang mereka mahu pinda, itu bermaksud kerajaan sendiri sudah sedar bahawa klausa-klausa itu tidak baik.

“Maka jika ia sudah diketahui tidak baik, kerajaan perlu berhenti menggunakannya untuk menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan media di Malaysia.

“Kerajaan mesti umumkan moratorium sekarang, sehinggalah semua klausa yang berkaitan dipinda atau dimansuhkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Wan Saiful, kerajaan hari ini suka menyalahkan kerajaan terdahulu dan lari dari tanggungjawab.

“Dalam hal ini, kerajaan jangan berhelah lagi dengan menyalahkan orang lain. Jika mahu buat, buatlah. Jangan bagi pelbagai alasan.

“Saya juga menyeru supaya kerjasama lebih erat dibina antara kerajaan, masyarakat sivil, organisasi media, dan pembangkang dalam mereformasi undang-undang dan peraturan berkaitan media di Malaysia,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan meneliti bantahan wartawan terhadap cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA).

Iltizam itu dinyatakan di media sosialnya beberapa jam selepas wartawan dan aktivis kebebasan media berdemonstrasi dan berarak ke parlimen bagi menyampaikan memorandum memperjuangkan kebebasan media.

Perarakan itu dianjurkan oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM), kumpulan prokebebasan media Gerakan Media Marah (Geramm) dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ). – HARAKAHDAILY 20/1/2025

- Advertisement -