Kezaliman syirik lebih besar berbanding penindasan fizikal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang kafir, walaupun aktif dalam kebajikan seperti menyumbang kepada masjid atau membantu sesama manusia, tetap dianggap melakukan kezaliman kerana kekufuran dan syirik kepada Allah. 

Naib Presiden PAS, Datuk Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, syirik adalah pengkhianatan terbesar terhadap Allah, menjadikannya kezaliman yang paling besar dalam pandangan Islam.

“Dalam al-Quran, Allah menegaskan bahawa golongan yang kufur itulah sebenarnya mereka yang zalim,” katanya dalam media sosial miliknya hari ini. 

Merujuk kisah Nabi Nuh AS, Mohd Amar menekankan bahawa kezaliman tidak hanya terhad kepada tindakan fizikal seperti menindas atau memukul, tetapi juga mencakupi syirik.

Beliau menceritakan bahawa Nabi Nuh AS dan pengikutnya melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana diselamatkan daripada kezaliman dan kebinasaan.

Menurut beliau, kezaliman terbesar ialah apabila seseorang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, seperti ditegaskan dalam surah Luqman bahawa syirik adalah puncak kezaliman. 

Tambahnya, kezaliman turut berlaku terhadap diri sendiri apabila seseorang melakukan dosa seperti meninggalkan solat, tidak membayar zakat, meminum arak, atau melakukan perbuatan lain yang membawa kemurkaan Allah.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu berkata, semua itu jelas membawa kepada kemurkaan Allah dan menghancurkan diri sendiri.

Beliau turut mengulas kisah anak Nabi Nuh yang memilih bergantung kepada akalnya sendiri ketika air bah melanda.

Anak Nabi Nuh itu ceritanya, yakin bukit yang tinggi mampu menjadi tempat perlindungan, namun akhirnya tetap tenggelam dalam gelombang besar.

“Kisah Nabi Nuh dan anaknya menjadi peringatan besar tentang rahmat dan perlindungan Allah. Tiada tempat yang benar-benar selamat melainkan di bawah penjagaan-Nya.

“Walaupun anak Nabi Nuh adalah darah daging seorang nabi, ia tidak menjamin keselamatannya kerana keingkarannya.

“Logik manusia biasa memang menganggap bukit sebagai tempat perlindungan semula jadi, seperti mana haiwan berlari ke tempat tinggi saat tsunami.

“Namun, dalam kisah ini, ia bukan soal kelebihan fizikal atau naluri, tetapi ketaatan dan perlindungan Allah,” jelasnya.

Mohd Amar mengingatkan bahawa kisah itu menjadi simbol peringatan bahawa perlindungan hakiki hanya wujud di bawah penjagaan Allah.

Beliau berkata, Nabi Nuh dan pengikutnya selamat kerana ketaatan mereka, manakala kebergantungan kepada selain Allah, walaupun kelihatan hebat, tetap akan membawa kepada kegagalan. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -
- Advertisement -