Isu halal: Jangan cabar sensitiviti umat Islam

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Jasin mengecam keras tindakan KK Mart yang mencabar sensitiviti umat Islam dengan penjualan sandwich ‘ham & cheese’ menggunakan label halal palsu di Universiti Malaya. 

Tindakan ini bukan sahaja mengelirukan pengguna Muslim, tetapi juga menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap isu halal yang sangat kritikal.

Kami menegaskan dua pelanggaran serius oleh KK Mart: pertama, pelanggaran SOP Halal Malaysia apabila istilah ‘ham’, yang merujuk kepada daging babi, digunakan pada produk halal, bercanggah dengan prinsip syarak dan standard halal; kedua, penyalahgunaan logo halal pada sandwich ’ham & cheese’, di mana produk tersebut menggunakan logo halal palsu dan pengeluar bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) JAKIM.

JAKIM telah mengesahkan pada 10 Januari bahawa produk itu tiada sijil halal, dan syarikat pengeluar tidak berdaftar sebagai pemegang SPHM, menjadikannya satu bentuk penipuan dan penghinaan terhadap sistem halal negara.

- Advertisement -

Allah SWT telah berfirman:

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ

“Dan janganlah kamu makan sesuatu yang tidak disebut nama Allah padanya; sesungguhnya perbuatan itu adalah suatu kefasiqan.” (Surah Al-An’am ayat 121)

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا

“Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Kerana itu, makanan halal bukan sekadar keperluan, tetapi asas kepada kehidupan yang diberkati. Imam Ahmad (Rahimahullah) pernah berpesan:

أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ الْأَكْلَ مِنَ الدِّينِ قَدَّمَهُ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى الْعَمَلِ الصَّالِحِ فَقَالَ: كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا

“Tidakkah kamu ketahui bahawa urusan makanan ini adalah sebahagian daripada agama? Dalam al-Quran, Allah mendahulukan makanan yang baik sebelum amal soleh. Firman Allah: ‘Dan makanlah makanan yang baik, kemudian lakukanlah amal soleh.’”

Lebih membimbangkan, Rasulullah SAW telah memberi amaran:

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ، لَا يُبَالِي الْمَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ، أَمِنَ الْحَلَالِ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ

“Akan datang satu zaman, seorang lelaki tidak mempedulikan dari mana sumbernya, sama ada dari halal atau haram.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Oleh itu, kami menyeru:

1. Pihak Berkuasa: Kami mendesak JAKIM dan KPDN untuk mengambil tindakan tegas terhadap KK Mart serta meningkatkan penguatkuasaan terhadap isu halal di seluruh negara.

2. Pengguna Muslim: Umat Islam diseru berhati-hati, mengutamakan produk halal keluaran Muslim, dan memboikot produk serta kedai yang mencabar sensitiviti umat Islam.

Contohilah sunnah Rasulullah SAW yang telah memecahkan monopoli pasar Madinah yang dikuasai Yahudi, sehingga umat Islam mampu membina ekonomi sendiri. Sunnah ini wajar diteladani.

Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua untuk terus istiqamah dalam menjaga prinsip halal dan haram.

USTAZ LUQMAANUL HAKIIM NORDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin
15 Rejab 1446H | 15 Januari 2025 – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -