Gencatan senjata atau perang?

- Advertisement -

RUNDINGAN gencatan senjata antara HAMAS dan rejim Zionis Israel kini telah memasuki fasa terakhir dengan dipercayai ia bakal dilaksanakan pada hujung minggu ini. Menurut jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari, rundingan telah memasuki fasa terakhir dan telah berjaya ‘meroboh halangan’ yang selama ini beberapa kali menggagalkan rundingan gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Terdapat tanda-tanda jelas bahawa ia bakal dilaksanakan tidak lama lagi khususnya sebelum Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari ini. Utusan Khas Donald Trump ke Timur Tengah, Steve Winkoff telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu di Tel Aviv baru-baru dan ia dilaporkan tegang berikutan tekanan ke atas Israel untuk menerima gencatan senjata tersebut.

Ia turut diakui oleh Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Jake Sullivan bahawa rundingan gencatan senjata Gaza kini berada di fasa terakhir dan bakal dilaksanakan tidak lama lagi. HAMAS dalam kenyataan terbaharunya turut mengakui perkara yang sama dan sedang bersiap sedia untuk fasa seterusnya. Dilaporkan saat ini tentera rejim Zionis Israel telah mula membuka dan menurunkan menara tinjau dan pos kawalan di sekitar Semenanjung Gaza termasuk pusat kawalan dan arahan tentera rejim Zionis Israel di ‘Netzarim Axis’, tengah Semenanjung Gaza.

Dalam masa sama, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken dalam ucapannya di Atlantic Council semalam berkata beliau akan menyerahkan ‘roadmap’ pasca perang di Semenanjung Gaza yang membabitkan pembangunan semula dan kerajaan yang bakal ditubuhkan di Gaza kepada negara sekutunya di Timur Tengah termasuk negara haram Israel. Antony Blinken juga turut menyatakan pentadbiran di Semenanjung Gaza pasca perang perlu diserahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) dengan peranan sementara kepada PBB dan kuasa asing.

- Advertisement -

Dalam erti kata lain, gencatan senjata Gaza bakal dimeterai dan dilaksanakan pada hujung minggu ini.

Namun begitu, ia ditentang hebat oleh kumpulan ekstremis berhaluan kanan Zionis Israel khususnya yang diterajui oleh Menteri Keselamatan negara haram Israel, Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich. Mereka mendapat sokongan kuat kumpulan-kumpulan berhaluan kanan dan ekstremis Zionis Israel termasuk sebahagian besar tentera rejim Zionis Israel yang mahu perang yang sedang berlangsung ketika ini diteruskan dan diluaskan kawasan taklukan rejim Zionis Israel.

Mengikut laporan media negara haram Israel, dipercayai Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich akan melakukan sabotaj dan cubaan terakhir untuk menggagalkan gencatan senjata di Semenanjung Gaza dengan mengugut Benjamin Netanyahu untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaannya yang akan meruntuhkan kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu, seterusnya membawa masalah besar berikutan kes pecah amanah dan rasuah Benjamin Netanyahu yang sedang dibicarakan di Mahkamah Agung negara haram Israel.

Ia bakal dilakukan ketika Benjamin Netanyahu akan memanggil kabinetnya dan Majlis Keselamatan negara haram Israel untuk membentangkan draft gencatan senjata Gaza dan bakal dilangsungkan pada bila-bila masa sahaja. Adakah gencatan senjata di Semenanjung Gaza bakal direalisasikan pada hujung minggu ini atau Benjamin Netanyahu akan tunduk kepada desakan kumpulan ekstremis berhaluan kanan Zionis Israel seterusnya meneruskan perang di Timur Tengah ?

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”

DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -