
KOTA BHARU: Kerajaan negeri meminta penduduk mahupun pengusaha tempat peranginan di Kelantan membuat laporan mengenai kejadian hakisan membabitkan pantai dan sungai yang berlaku ketika musim tengkujuh.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, sehingga kini pihaknya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri tidak menerima sebarang aduan mengenai insiden itu.
“Dalam mesyuarat tadi kita dimaklumkan oleh Exco bertanggungjawab Dato’ Dr Izani Husin, dia minta laporan dari JPS, setakat ini tidak ada laporan mengenai kejadian hakisan dilaporkan di Kelantan.
“Hakisan kecil-kecil itu biasalah sebab sekarang musim tengkujuh dan air laut pasang besar itu biasa, tetapi laporan hakisan yang memusnahkan harta benda awam setakat ini tidak ada lagi,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini hari ini, beliau meminta pihak terbabit tampil membuat aduan bagi memudahkan pihak yang bertanggungjawab membuat pemantauan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau sebarang perkembangan mengenai kejadian tersebut lebih-lebih lagi musim tengkujuh dijangka berakhir Mac ini.
“Kalau di Terengganu kita dapat maklumat ada berlaku hakisan, walau macam mana pun kita sentiasa memantau perkembangan ini sebab musim tengkujuh ini tidak habis lagi sekarang ini kita sedia.
“Harap-harap tidak berlaku hakisan di tempat kita ini, kalau sekiranya ada, kita minta dia buat laporan segera untuk kita ambil tindakan bagi pihak kerajaan negeri, insya-Allah,” kata beliau.
Sebelum ini beberapa pusat peranginan sepanjang pesisir Pantai Kandis, Bachok dekat sini terjejas apabila air pasang besar dan ombak tinggi membadai pantai yang menyebabkan berlakunya hakisan kecil.
Fenomena air pasang besar yang berlaku sebanyak dua kali dalam satu hari iaitu petang dan malam selain ombak setinggi tiga meter memusnahkan sebahagian landskap dan membawa sampah sarap ke pantai.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) akan berterusan sehingga Mac 2025 serta jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku sepanjang tempoh itu. – HARAKAHDAILY 15/1/2025











