Harga lantai padi rendah: Kerajaan ‘bunuh’ pesawah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penetapan harga lantai belian padi oleh Kerajaan Madani yang dianggap dan disifatkan ‘membunuh’ pesawah mendapat kritikan keras daripada Dr Ronald Kiandee.

Ketua Portfolio Pertanian dan Keterjaminan Makanan Perikatan Nasional (PN) itu menyeru tindakan segera bagi memastikan nasib golongan itu terbela. 

Ahli Parlimen Beluran itu menegaskan bahawa kekecewaan pesawah yang membawa kepada siri demonstrasi adalah bukti nyata ketidakprihatinan kerajaan terhadap kepayahan hidup golongan itu.

“Kekecewaan pesawah ini juga bukti Kerajaan Madani tiada empati dengan kepayahan hidup rakyat. Sedangkan pesawah adalah kumpulan petani yang terjejas dengan kenaikan harga diesel.

“Kerana jentera penuai padi dan pembajak tak termasuk dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) menyebabkan kos penghasilan padi naik berganda,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. 

Ronald turut mengkritik kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah beras tempatan yang ‘ghaib’ di pasaran dengan beliau sifatkan sebagai ancaman kepada keterjaminan makanan negara.

Beliau menekankan bahawa kerajaan perlu lebih sensitif terhadap isu itu, kerana pesawah adalah nadi utama sektor pertanian. 

“Justeru, seperti yang disuarakan di Dewan Rakyat, Perikatan Nasional menyokong desakan pesawah agar harga lantai belian padi dinaikkan.

“Dan kerajaan juga mengawal selia pengilang agar sebarang perbuatan manipulasi harga belian padi yang menganiaya pesawah dapat dikekang,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan pesawah di Utara Semenanjung mendesak kerajaan menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,800 satu tan metrik.

- Advertisement -

Mereka menyifatkan harga semasa sebagai tidak adil dan menjejaskan pendapatan dan turut memberi amaran akan bertukar ke tanaman lain atau menjual tanah sawah jika masalah itu tidak diselesaikan segera. – HARAKAHDAILY 14/1/2025

- Advertisement -