
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru MOTAC mempertimbangkan semula pendekatan promosi video Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) supaya menampilkan elemen simbolik Islam, termasuk keindahan seni bina masjid.
Naib Ketuanya, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, beliau percaya bahawa keindahan seni bina Islam bukan sahaja mampu menarik minat pelancong, malah mengangkat imej Malaysia sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan warisan seni bina.
“Video ‘Tahun Melawat Malaysia 2026: Truly Asia’ memang ‘smart’ dan logo pun cantik dan harus diberikan pujian. Cuma kenapa tidak ada langsung memaparkan ciri-ciri atau simbolik Islam ye?” soalnya menerusi kenyataan di Facebook, pada Rabu.
Muhammad Hanif turut mempersoalkan keputusan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang tidak memaparkan keindahan seni bina masjid-masjid ikonik di Malaysia seperti Masjid Negara dan Masjid Putrajaya.
Beliau berkata, masjid itu bukan sahaja mencerminkan identiti Islam, malah menjadi tarikan pelancongan utama.
“Malaysia majoriti rakyatnya beragama Islam, kedudukan Islam pula termaktub jelas dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan sebagai agama rasmi negara.
“Adakah MOTAC bimbang seandainya ada ciri-ciri atau simbolik Islam akan menyebabkan pelancong tidak berminat untuk datang ke Malaysia?” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa tamadun Islam telah mencapai pencapaian luar biasa dalam pelbagai bidang terutama bidang seni dan budaya.
“Seni bina pembinaan bangunan ikonik seperti Masjid Cordoba di Sepanyol, Masjid Alhambra di Granada dan Masjid Biru di Istanbul menjadi tarikan utama perlancongan negara,” katanya.
Beliau berkata, seni bina masjid di Malaysia juga sangat unik dengan gabungan pengaruh seni bina Islam tradisional dan unsur seni tempatan serta pengaruh dari pelbagai budaya seperti Melayu, Arab, India, Cina dan kolonial.
“Seni bina masjid di Malaysia banyak dipengaruhi oleh budaya Melayu, terutama melalui penggunaan kayu, bumbung bertingkat, dan serambi yang terbuka.
“Selain itu, Masjid Kampung Kling di Melaka adalah contoh terbaik pengaruh seni bina Cina dengan atap berbentuk pagoda yang unik.
“Seterusnya, pengaruh seni bina India dapat dilihat melalui penggunaan kubah dan lengkungan bentuk tapal kuda pada pintu dan tingkap masjid,” katanya.
Justeru, beliau menyeru agar kementerian mempertimbangkan semula pendekatan itu dan memasukkan elemen simbolik Islam dalam promosi masa depan. – HARAKAHDAILY 10/1/2025











