‘Kalau nak terlupa pun, janganlah terlupa masjid’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mempertikaikan penghasilan video montaj promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

- Advertisement -

Menurutnya, walaupun video tersebut bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, tetapi ia tidak memberikan gambaran yang tepat mengenai identiti negara.

Kritikan beliau terhadap isu tersebut kerana video montaj itu tidak menyertakan masjid sebagai antara simbol identiti, keindahan, budaya dan agama di Malaysia.

“Apabila dalam video itu memaparkan satu rumah ibadat seperti gereja dan kuil Hindu, jadi tak sepatutnya berlaku ketinggalan masjid kerana Perlembagaan Malaysia meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Kalau nak terlupa pun, janganlah terlupa masjid. Tidak kena,” katanya dalam satu video hantaran di laman TikTok miliknya, semalam.

Terdahulu, video berdurasi 41 saat yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Tourism Malaysia memaparkan beberapa destinasi tumpuan pelancong.

Antaranya Jalan Petaling dan Pasar Seni di Kuala Lumpur, Gua Mulu (Sarawak), Skywalk Langkawi (Kedah), Batu Caves (Selangor) dan gereja lama di Melaka.

Video tersebut menerima kritikan kerana didakwa cuai susulan tiada elemen masjid sedangkan terdapat paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil. – HARAKAHDAILY 10/1/2025

- Advertisement -