
KUALA TERENGGANU: Dakwaan kononnya peria katak (Momordica charantia) mampu merawat kencing manis sehingga menurunkan paras gula darah semakin rancak dipromosikan di media sosial.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, promosi tersebut tidak berasaskan bukti saintifik yang kukuh dan boleh mengelirukan masyarakat.
“Saya lihat beberapa pempengaruh aktif mempromosikan peria katak itu di media sosial. Ini bukan untuk merendahkan kredibiliti mereka tetapi semata-mata untuk memperbetulkan fakta.
“(Fakta sebenar) cuba diselindungkan oleh sesetengah pihak semata-mata bagi melariskan jualan dan promosi. Rujukan laporan kajian yang mereka tunjukkan dalam video itu adalah Meta Analisis terbaharu (Laczkó-Zöld et. al. Jan, 2024).
“(Ia) mengenai keberkesanan peria katak dalam merawat penyakit kencing manis. Meta Analisis bermakna sekumpulan kajian yang telah dikumpulkan dan dinilai dari sudut kekuatan bahan yang dikaji dari pelbagai sumber kajian.
“Malangnya mereka tidak mengambil khulasah keseluruhan artikel,” katanya dalam satu kenyataan dan menjelaskan, kajian tersebut sebahagian besarnya hanya melibatkan ujian terhadap haiwan, bukan manusia.
Kajian pra-klinikal sedemikian tegasnya, tidak boleh digeneralisasikan sebagai rawatan manusia tanpa melalui fasa ujian klinikal yang lebih matang.
“Jika sesuatu bahan untuk merawat ke atas manusia, perlu dimuktamadkan dahulu ke fasa III dan IV. Kesimpulan yang telah dibuat oleh Laczkó-Zöld et. al. dalam laporan tersebut itu pun mengesyorkan kajian yang lebih panjang dilaksanakan.
“Laporan kajian Meta Analisis tersebut sendiri menyatakan bahawa peria katak tidak berkesan dalam merawat kencing manis berbanding placebo (kesan tidak signifikan),” katanya.
Suhazeli turut menegur tindakan segelintir pihak yang memilih fakta secara terpilih untuk mengukuhkan dakwaan mereka.
“Ulasan Meta Analisis yang dibuat melalui kajian sebelum dari ini oleh Peter et. al. tahun 2019 yang nampaknya menyokong penggunaan peria katak dan herba-herba lain dalam merawat kencing manis.
“Sebenarnya kajian yang dilakukan oleh Peter et. al. itu sendiri mengakui bahawa kajian lanjut perlu diadakan kerana kajian meta analisis mereka mempunyai nilai rendah kualiti dan metodologi yang digunakan tidak kuat.
“Dalam perbincangan Laczkó-Zöld berkaitan kajian oleh Peter itu juga menyatakan bahawa ada kekurangan metodologi kajian, kerana dataset yang digunakan oleh Peter tidak mengambil keseluruhan 5 kajian utama yang jika dicampurkan kesemuanya.
“Kajian tersebut menunjukkan bahawa tidak ada sokongan yang kuat peria katak mampu meningkatkan sensitiviti insulin bagi merawat kencing manis,” ujarnya.
Beliau menyeru agar pempromosi produk kesihatan memahami asas pembacaan laporan kajian secara menyeluruh sebelum membuat kenyataan.
“Tolong juga bercakap jujur dan jangan cuba mengalih fakta sebenar dalam memberikan penerangan kepada pesakit ini,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 9/1/2025











