Akan urus sektor mineral tanpa jejas alam sekitar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengurusan sumber mineral yang bakal menjana pendapatan baharu kepada negeri termasuk bahan nadir bumi (REE) dan kawasan hutan, perlu dirancang sebaik mungkin.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri akan memastikan usaha itu dapat dilaksanakan secara cekap dan memberi manfaat besar kepada rakyat.

Menurut beliau, pihaknya merancang menghasilkan REE, bahkan dalam masa sama tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar termasuk mengekalkan kawasan hutan yang masih besar.

“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam merancang pembangunan sektor mineral bagi mematuhi garis panduan alam sekitar serta mengutamakan kepentingan rakyat dalam usaha ini.

“Hasil sektor bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi negeri, tetapi juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan memperkasakan pendapatan rakyat,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Mineral pertama diadakan bagi tahun 2025 di Kota Darulnaim, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Izani Husin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazri Muhammad.

Mesyuarat itu kata beliau, bertujuan memastikan pengurusan sumber mineral negeri dilaksanakan secara berkesan, mampan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Sebelum ini Kelantan merupakan negeri kedua selepas Terengganu mempunyai simpanan REE di Malaysia di samping antara negeri masih mengekalkan hutan yang melebihi 50 peratus.

Malah, pengeluaran REE juga didapati mengalami sedikit kelewatan kerana banyak kawasan yang mempunyai bahan nadir bumi itu terletak dalam kawasan hutan simpan kekal. – HARAKAHDAILY 9/1/2025

- Advertisement -