Ternakan ikan keli berpotensi tingkat ekonomi rakyat

- Advertisement -

KANGAR: Ternakan ikan keli dilihat sebagai salah satu sektor yang berpotensi besar dalam membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat, khususnya di negeri Perlis.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri, Razali Saad menzahirkan komitmen kerajaan negeri melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk terus menyokong dan membimbing para usahawan dalam industri ini.

Salah seorang usahawan bimbingan LKIM, Norazian Nordin dari Kampung Bukit Manik, berjaya mengusahakan ternakan ikan keli dengan 32 kolam di kawasan Bukit Ketri.

Usaha ini menghasilkan kira-kira 13,321 kilogram ikan keli setahun dengan nilai jualan mencecah RM60,581.70.

Hasil ternakan ini dipasarkan ke seluruh negeri Perlis dengan sokongan daripada lima hingga tujuh pemborong tetap, membuktikan potensi pasaran yang kukuh untuk produk tempatan.

Razali yang turut melawat kolam ternakan tersebut baru-baru ini berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan sektor akuakultur berkembang pesat, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat.

“Keberkesanan program bimbingan LKIM ini memberi manfaat besar kepada masyarakat, terutama dalam membantu usahawan kecil membina perniagaan yang mampan,” katanya.

Langkah ini selaras dengan visi kerajaan negeri untuk memanfaatkan sumber asli dan keupayaan tempatan dalam membangunkan sektor pertanian dan perikanan yang lebih berdaya saing.

Sebanyak 23 usahawan bimbingan LKIM di Perlis terlibat dalam pelbagai perusahaan dengan jumlah bantuan keseluruhan lebih RM148,250.

Bantuan ini diagihkan mengikut jenis produk dan tahun penerimaan, sebagai usaha memperkasa ekonomi tempatan.

Antara kategori ternakan, ikan keli dan udang kara masing-masing mencatat satu penerima, dengan menggunakan kaedah ternakan dalam tangki fiber di bawah bimbingan LKIM.

Produk lain seperti popia isi ikan mencatat seorang penerima dengan bantuan RM15,000 pada 2022, manakala ikan kering dan udang kering masing-masing mempunyai seorang penerima bantuan bimbingan.

Kategori belacan dan ikan kering merekodkan tiga penerima dengan bantuan berjumlah RM30,000 bagi tahun 2015 dan 2018.

Sementara itu, produk belacan menjadi penyumbang utama dengan sembilan penerima yang menerima bantuan sebanyak RM71,900 dari tahun 2015 hingga 2024.

Keropok lekor mencatat seorang penerima dengan bantuan RM21,350 pada 2020, manakala ikan kering (gelama) menerima RM10,000 pada 2018.

Kategori pes laksa Perlis dan popia sata masing-masing mempunyai seorang penerima.

Langkah LKIM jelas menunjukkan usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkasakan ekonomi usahawan tempatan. – HARAKAHDAILY 9/1/2025

- Advertisement -