Pekan Rabu sedia sambut tetamu sempena TMK2025

Bangunan kini dengan kemudahan yang lebih lengkap dan selesa
- Advertisement -

PEKAN Rabu antara lokasi yang pasti dikunjungi pelancong luar apabila datang ke Kedah. Pusat perniagaan yang beekumpulnya para usahawan Melayu ini sememangnya mempunyai keunikan dan daya tarikan tersendiri walaupun telah beroperasi hampir 95 tahun.

Tapak asal Pekan Rabu sejak ia mula dibuka pada 1930 adalah di Tanjung Chali, tetapi pada 1932, dipindahkan ke lokasi baharu tidak berapa jauh dari situ iaitu tapak Pejabat Kastam di Jalan Tunku Ibrahim.

Pusat perniagaan yang diasaskan oleh Putera Diraja Kedah, Tunku Yaakob Abdul Hamid, beroperasi di Jalan Tunku Ibrahim sehingga sekarang dengan wajah baharu selepas diubah suai enam tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, antara individu yang pernah membuka perniagaan di Pekan Rabu.

- Advertisement -

Kedudukannya di tengah Bandar Raya Alor Setar menjadikan kompleks perniagaan itu mudah dikunjungi pengunjung, apatah lagi berhadapan hentian bas, sementara terdapat jejantas yang menyambung bangunan tersebut merentangi jalan raya utama.

Bangunan empat tingkat itu berkeluasan 9,344 meter persegi, mempunyai insfrastruktur terbaik dengan 355 ruang niaga, 24 kedai makan, 203 unit ruang parkir kereta, dan 118 parkir motosikal, bagi memudahkan peniaga serta pengunjung yang datang.

Malah Kompleks Pekan Rabu sekarang telah tersedia dengan kemudahan asas lain seperti lif, surau, tandas, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), dan lain-lain.

Ruang parkir berbayar disediakan di paras bawah B1 dan B2, sementara di aras bawah dan tingkat satu, terdapat kedai pakaian, manakala di tingkat dua, terdapat gerai-gerai menjual kuih-muih, aneka kerepek, pekasam dan lain-lain.

Tinjauan Harakahdaily mendapati Kompleks Pekan Rabu agak lengang pada hari bekerja, tetapi menurut para peniaga keadaan menjadi meriah ketika cuti hujung minggu dan cuti persekolahan.

Salah seorang peniaga yang telah 10 tahun berniaga di kompleks tersebut, Wan Zan Zabila berkata, suasana jual beli di Pekan Rabu menjadi meriah terutama pada musim cuti sekolah.

“Waktu-waktu lain pun ada pengunjung tetapi tidak ramai. Kalau hujung minggu atau musim cuti sekolah, tujuh hingga lapan bas bawa penumpang berhenti membeli di Pekan Rabu. Kebanyakan mereka luar Kedah,” kata beliau.

Sehingga ini ujarnya, walaupun pendapatan tidak terlalu lumayan, tetapi dapat menampung bayaran sewa bulanan gerai, pusingan modal dan perbelanjaan harian.

Dalam pada itu, beliau sangat mengalu-alukan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, kerana selalunya pelancong luar Kedah pasti akan singgah membeli belah di Pekan Rabu.

Beliau juga akan memasti barangan jualan mencukupi dan stok-stok baharu disediakan agar tidak putus bekalan.

“Pakat ramai-ramai mai (datang) Kedah sempena TMK ini dan jangan lupa singgah Pekan Rabu, mai tengok apa yang ada,” tambah peniaga aneka kuih kering, kuih tradional, aneka produk minuman dan sebagainya itu.

Begitu juga dengan Norfishah Abu Bakar, yang popular dengan pelbagai ikan pekasam dibuatnya sendiri.

Kata beliau, ikan pekasamnya bukan sahaja diminati penduduk Kedah tetapi pembeli dari Kuala Lumpur dan Thailand sering datang ke kedainya mendapatkan bekalan.

“TMK2025 ini, pasti akan lebih ramai pelancong luar datang ke Kedah. Lagipun Pekan Rabu meriah dengan pengunjung luar. Kalau yang dari Kedah, kuranglah sikit,” katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Shahzan.

Beliau yang pernah bekerja sebagai tukang masak di RTM cawangan Kedah, berpandangan bangunan Kompleks Pekan Rabu itu dari luar tidak kelihatan seperti tempat membeli belah sebaliknya seperti bangunan pentadbiran.

“Masuk ke dalam, baru tau (tahu) ada kedai jualan. Jadi kena buat promosi meluaslah, lebih-lebih lagi sempena TMK2025 ini,” katanya yang telah 20 tahun menjalankan perniagaan di situ.

Sementara itu seorang peniaga pakaian, Mohd Hassan Senapi berkata, pendapatan sebagai peniaga pakaian tidak tetap kerana ia bermusim.

“Musim nak raya, nak buka sekolah, ramailah pelanggan cari baju tetapi kalau musim-musim lain kuranglah. Berbezalah dengan gerai yang jual makanan, mendapat perhatian tidak kira musim.

“Apatah lagi dengan keadaan ekonomi sekarang, kuasa membeli jadi kurang. Barang keperluan naik harga, tentulah pelanggan berjimat bila berbelanja,” katanya yang telah 32 tahun menjalankan perniagaan di Pekan Rabu.

Namun beliau tidak menafikan dengan adanya TMK2025, secara tidak langsung pelancong luar akan ramai datang ke Kedah dan salah satu destinasi yang akan dikunjungi adalah Pekan Rabu.

Gerai-gerai di Kompleks Pekan Rabu ini beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

Untuk pengetahuan, di aras bawah kompleks ini terdapat medan selera yang menjual pelbagai makanan dan minuman.

Oleh itu, apabila penat membeli belah, bolehlah basahkan tekak dan alas perut yang lapar sebelum pulang atau bergerak ke destinasi lain di Kedah. – HARAKAHDAILY 9/1/2025

- Advertisement -