
KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Dato’ Wan Roslan Wan Hamat menziarahi kematian Jihad Husin 68, yang meninggal dunia pagi tadi.
Pada kunjungan itu beliau turut menyampaikan RM1,000 dari Skim Khairat Kifaalah Kerajaan Negeri kepada wasi almarhum di kediamannya di Kampung Ketil, Tumpat dekat sini.
Ziarah tersebut kata beliau, menjadi rutin bagi seorang wakil rakyat di Kelantan sejak awal pemerintahan PAS di negeri itu untuk membantu sedikit sebanyak pengurusan jenayah.
“Ziarah rakyat yang kematian orang yang tersayang di DUN Pengkalan Kubor petang ini antaranya adalah ziarah dan menyampaikan RM1,000 skim khairat kifaalah.
“Sumbangan ini diberi kepada wasi almarhum Jihad Husin (Abe Li Colek Bismillah) di Kampung Ketil dan ramai lagi,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook hari ini.
Jihad atau lebih dikenali Pokli Colek Bismillah merupakan seorang penjual sejenis makanan Kelantan iaitu colek atau rojak campuran buah-buahan yang dimakan bersama kuah pedas.
Malah gelagatnya juga pernah tular di media sosial kerana tindak tanduknya yang tidak pernah lekang dari menyebut kalimah suci setiap kali memenuhi pesanan makanan oleh pelanggannya.
Bagaimanapun, anaknya Che Muhammad Redzuan Jihad pernah berkongsi di media sosial mengenai tahap kesihatan ayahnya yang semakin merosot hampir setahun lalu.
Ekoran itu gerai miliknya yang terletak dalam kawasan Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor terpaksa dihentikan sementara waktu sehingga mencetuskan persoalan di benak pelanggannya.
Setelah kematian ayahnya, Muhammad Redzuan berhasrat untuk meneruskan lagi legasi tersebut dengan menjalankan perniagaan kuah colek secara atas talian yang menjadi warisan keluarganya. – HARAKAHDAILY 8/1/2025











