
KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menegaskan bahawa isu berkaitan titah adendum Yang di-Pertuan Agong melibatkan pengampunan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak perlu ditangani dengan ketelusan dan kejelasan.
Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustaffa menyifatkan isu itu sebagai krisis keyakinan yang mencabar hubungan institusi Raja, kerajaan, dan rakyat.
Beliau menyatakan bahawa kronologi isu itu bermula apabila Dato’ Sri Najib memohon pengampunan daripada Lembaga Pengampunan selepas keputusan mahkamah diumumkan.
Kemudian ulasnya, timbul dakwaan mengenai wujudnya adendum atau titah khas Yang di-Pertuan Agong berkaitan tahanan rumah untuk Dato’ Sri Najib daripada sidang media peguamnya.
Kenyataan mengenai kewujudan adendum itu katanya, turut disokong oleh Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam afidavitnya, yang mendapat sokongan daripada Menteri Besar Pahang.
Selain itu ceritanya lagi, anak Dato’ Sri Najib sendiri memaklumkan kepada media bahawa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengesahkan wujudnya adendum tersebut.
Menurut Mohd Zai, kenyataan bercanggah yang dikeluarkan pihak kerajaan telah mengelirukan rakyat.
Beliau turut menyebut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara dan Istana Negara baru-baru ini, tetapi tiada kejelasan mengenai adendum tersebut.
“Rakyat tertanya-tanya, jika adendum ini wujud, mengapa ia tidak dilaksanakan? Jika tidak dilaksanakan, ini adalah penderhakaan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sidang media tergempar itu turut dihadiri oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali; Naib Pengerusi UMMAH, Hishamuddin Abu Bakar serta Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman.
Mohd Zai juga mempersoalkan pihak yang berkuasa dalam isu itu, sama ada Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong, atau Menteri Dalam Negeri.
Menurut beliau, perkara itu telah mencetuskan polemik besar yang menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Mohd Zai turut menekankan bahawa isu itu melibatkan elemen ‘3R’ (kaum, agama, Raja), yang sering menjadi sensitiviti utama dalam politik negara.
Beliau berkata, bahawa kerajaan dan Perdana Menteri berkemungkinan terperangkap dalam situasi itu kerana gagal melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong, yang boleh dianggap sebagai suatu tindakan penderhakaan.
“Ini bukan sekadar isu pengampunan, tetapi soal siapa yang sebenarnya berkuasa – Perdana Menteri atau Yang di-Pertuan Agong? Ketidakjelasan ini menunjukkan wujudnya krisis kuasa yang perlu segera ditangani,” tambah beliau.
Selain itu, Mohd Zai juga mendedahkan bahawa terdapat salinan adendum yang telah tersebar di media sosial, termasuk TikTok, namun kesahihannya belum dapat dipastikan.
Perkara itu katanya, menimbulkan kebimbangan mengenai ketelusan dan integriti pihak kerajaan dalam menangani isu itu.
Beliau turut mengingatkan bahawa pada Isnin, 6 Januari 2025 ini, satu perhimpunan solidariti bagi Dato’ Sri Najib dijangka diadakan oleh ahli Umno dan PAS.
Perhimpunan itu menurutnya, merupakan tanda sokongan terhadap bekas Perdana Menteri tersebut, tetapi beliau menyeru agar isu itu diselesaikan secara tuntas melalui proses undang-undang.
UMMAH dan NGO lain yang terlibat katanya berharap keputusan mahkamah pada 6 Januari nanti dapat memberikan jawapan jelas sama ada adendum tersebut wujud atau tidak. – HARAKAHDAILY 4/1/2025











