
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, menegaskan bahawa ‘Titah Adendum’ oleh Yang di-Pertuan Agong lebih setahun yang lalu harus segera dilaksanakan oleh pihak kerajaan sekiranya telah dizahirkan.
Ahli Parlimen Larut itu menekankan bahawa rakyat berhak mengetahui kedudukan sebenar titah tersebut, yang telah menjadi isu berkepentingan awam.
Beliau berkata, adalah menjadi salah satu kewajipan bagi semua rakyat Malaysia untuk menjunjung tinggi serta memartabatkan Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Beraja.
Tegasnya, kedua institusi tersebut adalah lambang kedaulatan negara seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.
“Pihak kerajaan atau mana-mana pihak tertentu mempunyai obligasi untuk menyempurnakan titah Institusi Yang di-Pertuan Agong yang dibuat dengan teratur mengikut lunas perundangan negara.
“(Ia) termasuk apa juga titah tambahan (‘adendum’) dalam hal pengampunan di-Raja yang dibuat oleh mana-mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau juga mengingatkan bahawa sebarang tindakan ingkar, menyembunyikan, atau menafikan titah yang dizahirkan oleh Institusi Yang di-Pertuan Agong adalah suatu penderhakaan besar kepada Raja dan Negara.
“Suara rakyat yang ingin tahu akan kewujudan dan kedudukan Titah Adendum tersebut adalah hak bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan ia tidak boleh dihalang oleh mana-mana pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2025











