Baik pulih takungan Hillpark dijangka siap satu bulan

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Ab Halim Tamuri (kiri sekali) membuat pemantauan ke tapak projek baik pulih kolam takungan Hillpark yang telah pecah dan runtuh. (FOTO: FB/Dato' Dr Halim Tamuri)
- Advertisement -

SUNGAI BULOH: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri membuat pemantauan kerja baik pulih kolam takungan Hillpark yang pecah dan runtuh hingga menyebabkan kawasan perumahan Taman Seri Alam dilanda banjir.

- Advertisement -

Beliau berkata, pihak kontraktor MKH Berhad telah memberikan taklimat kemajuan semasa berkenaan projek itu.

“Sebagai langkah awal, pihak kontraktor telah siap memasang cerucuk kepingan untuk menahan tanah dan juga air di sepanjang kawasan kolam takungan yang telah runtuh.

“Untuk kerja baik pulih jangka masa panjang, pihak kontraktor sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa untuk cadangan pelan dinding penahan pada kolam takungan tersebut dengan menggunakan konkrit tetulang.

“Kerja-kerja pembaikpulihan ini dijangka siap dalam tempoh sebulan daripada tarikh mula projek,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu juga berkata, beliau akan sentiasa memantau kemajuan semasa projek itu berjalan supaya keselamatan dan kesejahteraan penduduk terjamin.

Terdahulu, penduduk memohon kolam takungan yang pecah hingga menyebabkan kawasan perumahan mereka dilimpahi air pada Ahad, ditutup sepenuhnya kerana memudaratkan penduduk berhampiran.

Mohamed Sulaiman Fakeer Mohd, 51, berkata insiden itu merupakan kesilapan pemaju kerana bertindak menebuk kolam itu untuk membuat saliran keluar bagi mengatasi limpahan air tersebut.

“Ini adalah kesilapan pemaju kerana dari awal lagi penduduk tidak setuju dibina kolam takungan di sini kerana sudah terdapat tasik Hillpark.

“Selain itu, kawasan kami rendah, jadi bila mahu bina kolam di sini sudah tentu penduduk bantah, namun suara kami tidak didengar menyebabkan kesannya kini penduduk yang terpaksa tanggung,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/1/2025

- Advertisement -