Antara suara dan diam Menteri, Timbalan Menteri Agama

- Advertisement -

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar begitu pantas dan segera mengulas tulisan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyentuh perihal ‘jahiliah moden’ dan pendekatan Madani.

Namun, ketika umat Islam negara ini bagai dipanah halilintar isu Krismas Carolling dan gerakan Kristian Evangelis ‘Duta Tuhan’, beliau tetap berdiam diri. Kenapa Dr Na’im tidak bersuara? Kerana Nga Kor Ming dan Hannah Yeoh rakan sejawat dan sekutu Kerajaan Madani?

Kepantasan reaksi balas Menteri Agama dalam isu-isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam negara ini hakikatnya amat-amatlah dinantikan.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan pula mengulas kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi perihal ketidakhadiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Sidang Kemuncak D-8.

Beliau meminta Ahli Parlimen Marang tabayyun terhadap perkara itu, tetapi apabila sedunia digemparkan penafian Jakarta terhadap dakwaan Anwar kononnya Presiden Indonesia, Prabowo Subianto demam, tidak pula beliau ingatkan untuk tabayyun?

Kebetulan sekali pertemuan yang sepatutnya berlangsung di Langkawi, dijadualkan sejurus pulangnya Bapak Presiden Prabowo dari Sidang Kemuncak D-8.

Dilaporkan, Presiden Indonesia antara pemimpin utama yang hadir Sidang Kemuncak D-8, di samping Presiden Turkiye, Presiden Iran, Perdana Menteri Pakistan, dan Presiden Mesir sebagai tuan rumah.

Mungkin ramai walanon kagum dan teruja melihat tiwikrama dan kepantasan kedua-dua YB Senator bingkas bangun mempertahankan YAB Perdana Menteri dalam sehari dua ini, apatah lagi bidasan disasar kepada Presiden parti lawan yang sangat disusuli.

Apapun diharapkan kedua-dua Senator yang menjaga urusan agama ini akan bersikap tidak selektif dan jauh sekali hipokrit, sebaliknya hendaklah dengan penuh keilmuan dan ketegasan.

ABU MUHAMMAD IBRAHIM
Sungai Petani, Kedah – HARAKAHDAILY 3/1/2024

- Advertisement -
- Advertisement -