Sebatan syariah di khalayak: Perspektif Islam dan pelaksanaannya

- Advertisement -

PELAKSANAAN hukuman sebatan syariah di khalayak ramai telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat, termasuk tentangan daripada pihak tertentu. Namun, pelaksanaan ini mempunyai asas kukuh daripada nas-nas al-Quran, hadis, dan pandangan ulamak terdahulu.  

Dewan Ulamak PAS Kawasan Jasin ingin memberikan pencerahan berdasarkan dalil syarak, hikmah pelaksanaan, serta implikasinya terhadap masyarakat. 

Dalil al-Quran dan tafsir ulamak 

Firman Allah SWT:  

- Advertisement -

وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ 

“…maka hendaklah sekelompok manusia dari kalangan orang beriman menyaksikan hukuman keduanya (penzina lelaki dan perempuan).” (Surah an-Nur: 2)

Menurut Sheikh Ibnu Asyur dalam Tafsir at-Tahrir wat Tanwir, kehadiran orang ramai semasa pelaksanaan hukuman bertujuan: 

1. Membuktikan keadilan dan keterbukaan dalam pelaksanaan hukum hudud. 

2. Mencegah sikap bermudah-mudahan terhadap dosa besar seperti zina. 

3. Memberikan pengajaran kepada masyarakat agar menjauhi maksiat. 

Pandangan ini turut didukung oleh Imam al-Qurtubi, Imam al-Mawardi, dan Imam Ibnu Kathir yang menjelaskan bahawa penyaksian khalayak mampu menimbulkan keinsafan dan menjadikan pelaksanaan hukuman sebagai pengajaran kepada pelaku dan masyarakat. 

Hikmah pelaksanaan di khalayak 

Hukuman sebatan ini bukanlah bertujuan menghina atau mencederakan pelaku, tetapi ia dilaksanakan dengan penuh hikmah. Antaranya: 

1. Rahmah dan hikmah Islam: Sebatan menggunakan rotan kecil yang tidak mencederakan, selaras dengan prinsip Islam. 

2. Tujuan pendidikan: Hukuman ini diharapkan dapat mendidik pelaku agar insaf, di samping menyampaikan mesej tegas kepada masyarakat untuk menghindari maksiat. 

3. Keberkesanan Undang-undang Syariah: Ia sebagai langkah pencegahan dan pengajaran yang berkesan bagi membentuk masyarakat bertanggungjawab dan bermaruah. 

Contoh kes yang sedang mendapat perhatian ialah kes Mohd Affendi Awang, yang telah melakukan kesalahan khalwat sebanyak tiga kali. Hukuman yang dikenakan ialah 6 sebatan dan denda RM4,000, mengikut Seksyen 31 Syariah Criminal Offences (Takzir) (Terengganu) Enactment 2001. 

Keputusan hakim untuk melaksanakan sebatan di khalayak ramai mencerminkan ketegasan dalam menegakkan syariat serta kesungguhan mendidik masyarakat. Pendekatan ini amat relevan dalam konteks pesalah yang telah melakukan kesalahan yang sama beberapa kali.  

Dalam konteks pesalah berulang, ulamak fikah seperti Sheikh Dr. Ahmad Fathi al-Bahnasi pernah menegaskan: 

أَمَّا بِالنِّسْبَةِ لِلْمُجْرِمِ الْعَائِدِ الَّذِي يَتَكَرَّرُ مِنْهُ الْإِجْرَامُ، فَقَدْ تَوَاتَرَتِ النُّصُوصُ عَلَى التَّشْدِيدِ عَلَيْهِ. 

“Penjenayah yang mengulangi jenayah yang sama, nas-nas begitu banyak menekankan agar hukumannya lebih berat.” (rujuk kitab al-‘Uqubah fi al-Fiqh al-Islami, 1403H, halaman 55) 

Maka perlu difahami, hukuman yang lebih berat bukan sahaja bertujuan untuk mendidik pelaku tetapi juga mencegah jenayah daripada berulang kembali. 

Hujah undang-undang dan tanggapan pihak luar 

Pelaksanaan hukuman ini adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam Senarai II Jadual Kesembilan, yang memperuntukkan kuasa kepada negeri untuk melaksanakan undang-undang syariah. 

Namun, ada pihak seperti SUHAKAM yang mempertikaikan hukuman ini atas alasan hak asasi manusia. Dewan Ulamak PAS Kawasan Jasin menegaskan bahawa hak asasi manusia perlu dinilai berdasarkan perspektif agama, bukan semata-mata berpandukan agenda Barat. 

Hukuman ini bukanlah untuk menjatuhkan maruah pelaku tetapi membentuk keinsafan kepada pelaku dan masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan. 

Kesimpulan 

Pelaksanaan hukuman sebatan syariah di khalayak ramai adalah bukti komitmen menegakkan syariat Islam dengan hikmah dan adil. Ia mendidik pelaku, mencegah kemungkaran, dan memberikan pengajaran kepada masyarakat. 

Seperti yang dinyatakan oleh Sheikh Ibnu Asyur dan para ulamak yang lain, kehadiran khalayak adalah salah satu maqasid pelaksanaan hukum jenayah syariat bagi memastikan keberkesanan dan ketegasan undang-undang Islam. 

Dewan Ulamak PAS Kawasan Jasin menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan ini dan menyeru masyarakat untuk memahami hikmah sebenar pelaksanaan syariat Islam. 

Semoga usaha ini menjadi satu langkah ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih bertakwa dan bermaruah. Wallahua’lam.

USTAZ ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN 
Ketua Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Kawasan Jasin – HARAKAHDAILY 1/1/2025

- Advertisement -