Amorim akui United kini berjuang untuk tidak tersingkir

- Advertisement -

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui pasukan bimbingannya itu kini sedang berjuang untuk tidak tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris.

- Advertisement -

Bercakap kepada media selepas pasukannya tewas 2-0 di tangan Newcastle United awal pagi tadi, beliau menyifatkan kekalahan itu sebagai ‘memalukan’ dan ‘suram’, menyaksikan pasukan itu kini sekadar berada 7 mata dari zon penyingkiran.

“Itu betul-betul jelas. Ia antara detik paling sukar dalam sejarah Manchester United dan kami perlu menyampaikannya dengan jujur. Apabila anda mempunyai saat-saat seperti ini, terutamanya di kelab-kelab besar, sangat sukar untuk mengubah keadaan.

“Terutamanya apabila anda tidak mempunyai banyak masa untuk melatih perkara-perkara asas untuk menghadapi saat-saat sukar.

“Jadi kami perlu mengakui kedudukan kami, cara anda melihat liga, semua orang boleh mengalahkan semua orang. Jadi kami perlu terima perkara itu dan fokus untuk terus hidup,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk menukar pendekatannya kepada formasi 3-4-3, Amorim berikrar untuk terus berpegang pada prinsipnya.

“Saya telah dilantik kerana idea itu, dan dalam saat-saat sukar ini, jika anda mengubah fikiran anda, ia adalah penamat bagi mana-mana jurulatih.

“Ia adalah pilihan yang semua orang perlu buat dalam bola sepak. Jika saya fikir ini adalah perkara terbaik untuk pasukan, saya akan terus menyampaikan mesej saya,” ujarnya.

Perlawanan seterusnya menyaksikan pasukan itu bakal bertandang ke Anfield pada awal pagi Isnin, 6 Januari bagi berdepan Liverpool yang kini mendahului liga dengan sebanyak 45 mata. – Agensi / HARAKAHDAILY 31/12/2024

- Advertisement -