Projek zon bebas cukai Tasik Kenyir bazir wang rakyat

Datuk Razali Idris
- Advertisement -

MARANG: Banyak wang rakyat dibazirkan Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir Terengganu sebelum ini bagi mewujudkan zon bebas cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, projek terbabit yang dilaksanakan bermula 2012 dianggap tidak sesuai.

Katanya, zon bebas cukai biasanya berada di kawasan sempadan negeri dan bukannya jauh di pedalaman.

“Cuba bayangkan kos mengangkut barangan yang diimport dari China melalui Pelabuhan Klang untuk sampai ke Tasik Kenyir.

“Bagaimana peniaga hendak menjual barangan dengan harga murah kerana kos pengangkutan sudah tinggi. Pada cadangan mewujudkan zon bebas cukai di Tasik Kenyir tidak sesuai,” katanya di sini.

Projek zon bebas cukai dilaksanakan kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN bermula pada 2012 dan dijadualkan siap 2016.

Projek itu membabitkan pembinaan bangunan terminal penumpang, jeti servis, kompleks beli-belah di Kenyir Trade Centre, laluan pendaratan bot, hentian rehat, stesen buggy dan wakaf.

Bagaimanapun projek terbabit terbengkalai dalam tempoh begitu lama sehingga diteruskan semula kerajaan PAS pada 2019.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid sebelum ini dilaporkan berkata, projek pulau bebas cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir seperti membuang wang rakyat dalam air.

Menurutnya projek terbabit membabitkan kos RM118 juta terhenti kira-kira dua tahun lalu hanya mencapai kemajuan lebih 70 peratus.

Razali juga berkata, hotel milik kerajaan negeri di Tasik Kenyir yang dibina pada 2015 terbengkalai lama disiapkan semula kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya hotel itu mengangundi 150 bilik dibaikpulih semula dan dijangka beroperasi pada Mac 2025.

Hotel tersebut diurus Terengganu Incorporated (Terengganu Inc). – HARAKAHDAILY 31/12/2024

- Advertisement -