
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini semalam memutuskan aktivis PKR, Iswardy Morni bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong tiga tahun lalu.
Hakim, Datuk MM Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampui keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Mahkamah menetapkan 23 Januari tahun depan bagi mendengar hujahan mitigasi kedua-dua belah pihak sebelum hukuman dijatuhkan.
Iswardy didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui _Facebook_ miliknya dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan.
Kenyataan beliau terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu direkodkan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada 29 Mei 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Faizal Rahman.
Pada Oktober lalu, mahkamah sama memerintahkan Iswardy membela diri atas pertuduhan pertuduhaan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.
Sebanyak sembilan saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 3 Januari 2022.
Pada 1 Jun 2021, tertuduh mengaku tidak bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan mohon dibicarakan. – HARAKAHDAILY 31/12/2024











