Gesa tindakan ke atas Kor Ming dan Hannah Yeoh

Haziq
- Advertisement -

KANGAR: Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming diingat agar lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan sensitiviti umat Islam.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Haziq Asyraf Dun berkata, tindakan kedua-dua menteri itu telah menyentuh isu yang amat sensitif dan berpotensi mencetuskan ketegangan.

“Alhamdulillah, hari ini kami daripada Dewan Pemuda PAS bersama Dewan Muslimat, Dewan Ulama, serta Pengerusi-pengerusi NGO telah hadir membuat laporan polis terhadap kedua-dua menteri ini.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal menjaga keharmonian umat Islam dan bangsa Melayu, satu syahadah, satu jalan untuk memastikan umat Islam dan bangsa Melayu terpelihara,” katanya.

Menurut Haziq, tiada pihak sama ada dari parti politik atau NGO, berhak untuk mencampuri urusan umat Islam apatah lagi menyuruh mereka bertaubat.

“Jangan ada pihak yang berani mencabar sensitiviti umat Islam atau bangsa Melayu, hormatilah nilai-nilai yang telah kita jaga selama ini,” tegasnya.

Laporan polis itu dibuat oleh gabungan tujuh NGO bersama wakil PAS di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, hari ini, sebagai tindak balas terhadap isu tersebut.

Haziq turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap perbuatan menormalisasi sambutan Krismas dalam institusi kerajaan, termasuk penganjuran persembahan Krismas Carolling di KPKT.

“Ini adalah normalisasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, orang Islam tidak boleh menyambut Krismas.

“Lebih membimbangkan, apabila kakitangan Islam turut terlibat secara langsung dalam acara tersebut, jangan cuba untuk menormalisasikan persamaan agama dengan cara yang bertentangan dengan Islam,” ujarnya.

Baru-baru ini, sebuah video berdurasi satu minit tular memaparkan Nga Kor Ming menyambut Krismas bersama kakitangan kementerian di bangunan KPKT.

Video tersebut memaparkan persembahan nyanyian Jingle Bells, dengan beberapa kakitangan Islam turut hadir.

Setiausaha Pertubuhan Badan Amal Ilmu Harmoni Ukhwah Malaysia (BAIHU) Cawangan Perlis, Abd Agfarnizar Abdul Wahab dalam pada itu menyeru semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam di seluruh negara membuat laporan polis berkaitan buku Becoming Hannah tulisan Hannah Yeoh.

Menurut Abd Agfarnizar, gabungan NGO Islam itu juga merancang untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara sebagai tindakan susulan.

Beliau turut menyeru lebih banyak NGO tampil membuat laporan polis bagi memastikan isu ini mendapat perhatian serius pihak berkuasa.

“Kami bukan bergerak atas dasar politik, tetapi atas nama Islam, kerana cintakan agama, bangsa, dan tanah air,” katanya selepas turut bersama membuat laporan polis di IPD Kangar.

Gabungan NGO tersebut berharap agar tindakan undang-undang diambil segera terhadap penulis buku tersebut, dengan kes ini dibawa ke muka pengadilan demi melindungi kepentingan umat Islam di negara ini.

Terdahulu, keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini menolak saman fitnah Hannah Yeoh terhadap mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Saman itu berkaitan kenyataan Musa dalam satu forum pada 2020, di mana beliau mendakwa Yeoh mempunyai hubungan dengan golongan evangelis dan Yahudi yang berpotensi merosakkan Islam serta kestabilan negara.

Mahkamah mendapati dalam buku tersebut, Yeoh sendiri mengakui peranannya sebagai ‘Ambassador of God’ yang menyebarkan agama Kristian secara halus melalui penglibatan politiknya. – HARAKAHDAILY 31/12/2024

- Advertisement -