
KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan telah membuat laporan polis terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berhubung isu sambutan Krismas di premis kerajaan.
Tindakan itu diambil berikutan penganjuran sambutan Krismas dilakukan di premis kerajaan bercanggah dengan garis panduan dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) apabila ada orang Islam turut merayakannya.
Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamed berkata, tindakan menganjurkan acara tersebut juga dikatakan bertentangan dengan hukum apatah lagi orang Islam turut menyertai sambutan Krismas.
Katanya, perkara itu telah dijelaskan dalam Irsyad Hukum oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 24 Disember 2023.
Menurutnya, tindakan menteri tersebut sama ada dilakukan dengan sengaja atau kerana kekurangan pengetahuan mengenai undang-undang, telah menimbulkan isu tidak sepatutnya berhubung sambutan Krismas di premis kerajaan.
“Pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan juga berpendapat Menteri berkenaan sepatutnya sudah mengetahui larangan tersebut (sambutan perayaan di premis).
“Kerana itu, kami menggesa pihak polis untuk menyiasat secara mendalam isu ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Menteri KPKT, terutamanya jika ia dilakukan dengan sengaja untuk menimbulkan polemik terhadap umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, dekat sini hari ini.
Beliau turut menegaskan, isu ini jelas menunjukkan kegagalan Kerajaan Madani dalam menjaga sensitiviti umat Islam.
Kamal juga menegaskan, ini bukanlah kes pertama yang melibatkan sensitiviti umat Islam, malah sebelum ini sudah banyak insiden yang telah menimbulkan keresahan umat Islam.
“Sudah tiba masanya rakyat untuk mendesak kerajaan ini turun dengan cara yang terhormat, atau Menteri yang tidak sepatutnya memegang jawatan ini perlu meletak jawatan segera, sebelum rakyat bangun untuk menyuarakan bantahan secara besar-besaran,” tambah beliau.
Tambah beliau lagi, sebahagian besar kakitangan kerajaan yang hadir ke majlis tersebut mungkin terpaksa berbuat demikian kerana arahan langsung daripada Menteri, walaupun mereka tahu garis panduan melarang umat Islam turut serta dalam acara tersebut.
“Kakitangan kerajaan akhirnya terpaksa hadir kerana mereka hanya mengikuti perintah atasan,” ujarnya.
Beliau juga turut menekankan, menteri yang faham undang-undang berkaitan sekatan terhadap umat Islam seharusnya peka dan tidak sepatutnya menganjurkan acara seperti ini. – HARAKAHDAILY 31/12/2024












